Penduduk di daerah ini kalau dengar bunyi tembakan jangan panik, ini yang berlaku

Penduduk atau orang ramai di dua daerah di Terengganu dinasihatkan agar tidak panik jika terdengar bunyi tembakan atau melihat pergerakan dan aktiviti ketenteraan.

Ini kerana tentera Darat Malaysia (TDM) dan pasukan Angkatan Tentera Amerika Syarikat (USF) kini sedang menjalani latihan ketenteraan Eksesais Tiger Strike 2024 selama 10 hari bermula 28 Mei hingga 6 Jun di Terengganu.

TDM dalam kenyataan memaklumkan, latihan ketenteraan itu dijalankan melibatkan lokasi di daerah Setiu dan Seberang Takir, Kuala Nerus.

”Ia merupakan sebahagian daripada latihan yang dirancang dan dikawal selia dengan ketat.

“Penduduk juga dinasihatkan untuk tidak memasuki kawasan latihan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan diri di mana kawasan yang terlibat dengan latihan juga akan diletakkan papan tanda berkaitan dengan jelas.

“Mereka dinasihatkan untuk memberi laluan kepada kenderaan tentera yang bergerak di jalan raya bagi mengelak sebarang gangguan atau kemalangan,” maklum TDM.

Dalam kenyataan sama, TDM berkata, latihan tersebut akan membabitkan banyak pergerakan kenderaan dan aset tentera, bunyi letupan dan penerbangan pesawat-pesawat tentera di sekitar kawasan terlibat.

“Matlamat utama latihan adalah untuk meningkatkan kerjasama dan kecekapan antara ATM dan USF serta mengukuhkan hubungan dua hala dan mempertingkatkan kompetensi serta profesionalisme kedua pasukan terlibat.

”Kerjasama semua terutama penduduk setempat amat dihargai bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang tempoh eksesais ini.

”Sebarang pertanyaan atau kebimbangan boleh diajukan kepada pihak berkuasa tempatan atau markas tentera terdekat untuk maklumat lanjut,” maklum kenyataan itu lagi.

TDM berkata, eksesais berkenaan membabitkan Pasukan 10 Briged Para dan 15th Marine Expeditionary Unit, United States Marine Corps (15 MEU USMC) serta elemen sokongan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dan Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy).

BACA JUGA Kerajaan sebenarnya bukan mansuh subsidi diesel, ini cerita sebenar untuk faham

Â