Saya tidak benarkan sebarang ugutan menyalahi undang-undang, kata TMJ
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail hari ini tampil menegaskan, beliau tidak akan membenarkan sebarang ugutan yang menyalahi undang-undang berlaku.
Ini berikutan seorang pemandu e-hailing OKU membuat laporan polis kedua bagi menarik balik laporan polis pertama yang mendakwa beliau telah dipukul oleh pengiring Pemangku Sultan Johor itu.
Baginda bertitah, agar pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring baginda yang didakwa melakukan perbuatan tersebut.
“Merujuk kepada kejadian yang berlaku di St Regis Hotel Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu, saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bekerjasama dengan pihak penyiasat.
“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.
“Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya,” titah baginda dalam kenyataan.
Tunku Mahkota Ismail juga berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa.
“Saya menggesa semua pihak membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” titah baginda lagi.
Terdahulu, media melaporkan, seorang pemandu e-hailing OKU membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul pengawal pengiring ketika menunggu penumpang di sebuah hotel dekat KL Sentral di sini.
Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala ketika diminta untuk mengalihkan kenderaannya. Susulan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketika membuat laporan, telefon bimbit dan kamera papan pemuka keretanya yang dipercayai merakam kejadian itu dirampas oleh polis.
Namun selepas itu, pemandu e-hailing berkenaan telah membuat laporan polis kedua dan menarik balik laporan polis pertamanya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, dalam satu kenyataan pada Rabu lalu dilaporkan berkata, pemandu OKU berkenaan telah membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.
Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail, menggesa semua pihak membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” titah baginda.
BACA JUGA Bendera Malaysia berkibar di Switzerland, ini reaksi Dr Dzulkefly
Â