Arab Saudi keluar peringatan tegas jika Ketua Rombongan Haji berani langgar peraturan ini

Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan notis kepada Ketua Rombongan Haji (KRH) semua negara mengenai langkah mengadakan kawalan keselamatan lebih ketat bagi membendung penyalahgunaan visa semasa musim haji.

Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ini merupakan pertama kali notis seumpama itu dikeluarkan.

Ia antara lain mengandungi peringatan kepada KRH supaya tidak membantu sebarang pergerakan atau penginapan mereka yang tiada visa haji sah.

Malah, KRH turut diminta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada individu yang melanggar peraturan haji.

“Penekanan daripada pihak kerajaan Arab Saudi kepada pejabat semua Ketua Rombongan Haji itu belum pernah dibuat sebelum ini dengan peringatan yang begitu khusus.

“Turut diberi peringatan sekiranya notis baharu itu tidak dipatuhi, ia akan memberi kesan terhadap operasi haji di sesebuah negara,” katanyakepada Petugas Media TH pada sidang media mingguan di Ibu Pejabat TH seperti dilapor Bernama

Pada masa sama, beliau berpendapat penekanan daripada kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu sebagai satu perkara serius dan menjadi mesej yang perlu diambil perhatian oleh rombongan rasmi haji semua negara.

Beberapa operasi juga sudah dilaksanakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi sejak dua minggu lalu dengan tangkapan dilakukan terhadap mereka yang tiada visa atau permit haji yang sah.

“Pemeriksaan kenderaan dilakukan termasuk bas-bas yang dinaiki jemaah juga dilakukan untuk memastikan hanya mereka yang ada visa sah sahaja masuk ke Makkah. 

“Walaupun orang tempatan atau bekerja di Makkah, mereka mesti memiliki permit sah untuk masuk ke sini,” katanya.

Selain itu beliau berkata, pihak berkuasa turut menjalankan pemeriksaan di hotel-hotel penginapan dan laluan ke masjid serta tempat-tempat tertentu bagi mengesan jemaah yang melanggar peraturan tersebut.

Berikutan itu, Syed Saleh menyeru kepada semua petugas dan jemaah haji untuk memandang serius perkara berkenaan dan sentiasa patuh kepada arahan dan undang-undang Kerajaan Arab Saudi.

“Kepada jemaah haji Malaysia, saya ingin ingatkan semula pastikan anda sentiasa mempunyai kad Nusuk, insya-Allah, TH sedang dan akan mengedarkan kad ini kepada jemaah haji yang duduk bawah kuota 31,600.

“Jemaah juga hendaklah pastikan kad ini dijaga dengan baik untuk mudahkan pergerakan dan perjalanan serta ibadah haji,” katanya.

Beliau turut menggalakkan jemaah haji Malaysia supaya memuat turun aplikasi Nusuk kerana terdapat kad Nusuk digital dalam aplikasi itu yang boleh digunakan untuk ditunjukkan kepada pihak berkuasa Arab Saudi, sekiranya situasi terdesak.

BACA JUGA Ini perkembangan terbaharu enam anggota perubatan Malaysia yang terkandas di Rafah

Â