Ini perkembangan terbaharu enam anggota perubatan Malaysia yang terkandas di Rafah

Kesemua enam orang anggota Pasukan Perubatan Kecemasan Mercy Malaysia (EMT) akhirnya berjjaya dibawa keluar dengan selamat dari Rafah, Gaza.

Perkembangan positif itu disahkan oleh Kementerian Luar (KLN) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, sebahagian ahli EMT dibawa keluar pada tarikh 23, 24 dan 28 Mei lalu.

”Manakala kumpulan terakhir yang terdiri daripada dua ahli EMT pula dibawa keluar semalam. Mereka dibawa keluar dari zon konflik secara berperingkat dan bersama-sama dengan petugas antarabangsa yang lain.

“KLN ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakan antarabangsa yang memberikan kerjasama dan komitmen dalam memastikan keselamatan petugas warganegara Malaysia tersebut sehingga mereka berjaya dipindahkan keluar dari zon konflik.

“Semua rakyat Malaysia juga diingatkan tidak melakukan sebarang perjalanan ke mana-mana zon konflik,” maklum kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini, enam anggota pasukan perubatan Malaysia itu terkandas di Rafah dan mereka adalah sebahagian daripada delegasi perubatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Rafah, Gaza.

Susulan itu, kerajaan bekerjasama dengan beberapa rakan antarabangsa seperti Qatar dan Mesir bagi membawa pulang mereka sejak 1 Mei lalu.

BACA JUGA Ini rupanya cara guna aplikasi DELIMa untuk tebus baucar buku RM100