Isu dipukul pengawal orang kenamaan: Fahmi seru jangan komen sampai sentuh 3R

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menasihatkan orang ramai berhati-hati dan tidak menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja) dalam mengulas isu pemandu grab OKU yang didakwa diserang pegawai pengiring rombongan kenamaan.

Fahmi berkata, rakyat perlu berwaspada apabila menyampaikan pandangan serta tidak melampaui batas jika tidak mahu diambil tindakan.

“Kita boleh menyampaikan pandangan, malah Ketua Polis Negara juga telah mengeluarkan kenyataan. Bagi saya, kita perlu serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

“Kita juga sudah mendapat jaminan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa siasatan akan dilakukan dan kita mestilah letakkan kepercayaan kepadanya,” katanya ketika menghadiri perasmian Karnival Kita Madani Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini.

Selain itu, Fahmi berpesan untuk tidak melontarkan komen pakai buang atau dipanggil ‘throw away comment’ kerana itu adalah sikap yang tidak baik.

Tambahnya, jika seseorang memberi komen tanpa maklumat penuh, itu akan menyukarkan keadaan dan diri sendiri.

Terdahulu, salah faham arahan merupakan punca seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) dipukul individu yang merupakan pengiring kepada rombongan terkenal, di lobi sebuah hotel, di ibu negara, selasa yang lalu.

BACA JUGA Hannah Yeoh tampil bersuara, terjawab akhirnya kenapa lama mendiamkan diri