Pengaruh PH tiga penggal di Sungai Bakap peluang cerah rampas kerusi PN
Pengaruh Pakatan Harapan selama tiga penggal di DUN Sungai Bakap diyakini bakal memberi peluang cerah untuk calon Kerajaan Perpaduan merampas kembali kerusi yang ditawan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pengaruh itu sudah cukup untuk dinilai penduduk yang merasai manfaat pentadbiran PH.
Beliau juga menyatakan keyakinan momentum kemenangan PH yang bermula dari beberapa Pilihan Raya Kecil sehingga Kuala Kubu Baharu dapat dikekalkan, akan dibawa ke Sungai Bakap.
“Potensi untuk PH rampas kembali kerusi itu sangat cerah, sangat tinggi, malah kerusi itu akan menjadi permulaan untuk ‘pecahkan’ gelombang PN pada PRU lepas.
“Saya juga percaya Sungai Bakap dapat memecahkan gelombang PN tersebut berdasarkan kepada pencapaian yang kita capai sepanjang menjadi kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan sesi libat urus bersama jawatankuasa pimpinan, sayap dan kawasan AMANAH Kedah.
Mengakui PH terpaksa berdepan gelombang PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, Mujahid bagaimanapun berkata pengundi di Pulau Pinang kini sudah mulai celik lebih-lebih lagi negeri itu ditadbir PH sejak 2008
“Sebelum ini, selama tiga penggal Sungai Bakap diwakili pemimpin PKR, sebelum itu UMNO. Bermakna pengaruh itu sudah cukup untuk dinilai penduduk.
“Pulau Pinang pula ditadbir PH sejak 2008, sudah tentu banyak faedah diperoleh pengundi di situ.
“Cuma apa yang berlaku dalam PRU dan PRN lepas, kita berdepan gelombang (PN), sehingga banyak kerusi tewas, termasuk di kubu kuat Seberang Jaya. Bukan sahaja berlaku di Utara, malah Selatan juga alami gelombang sama,” jelasnya.
BACA JUGA Rupa-rupanya penahanan ibu bapa Zayn Rayyan hasil risikan polis sejak hari pertama kejadian