Wisma Putra kongsi perkembangan terkini pendaki Malaysia maut di Gunung Denali, Alaska

Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles sudah berhubung dengan ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia ketika menyertai ekspedisi pendakian di Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Luar memaklumkan, Konsulat Jeneral Malaysia juga sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan.

”Usaha membawa turun jenazah dari kawasan pergunungan itu sedang giat dilakukan dengan bergantung pada keadaan cuaca.

”Konsulat juga sedang memberikan bantuan konsular yang sewajarnya,” katanya lapor BH hari ini.

Dalam kenyataan sama, Wisma Putra mengesahkan bahawa dua lagi pendaki warganegara Malaysia turut dimasukkan ke hospital dan sedang menerima rawatan.

“Konsulat Jeneral Malaysia sedang memantau keadaan kesihatan mereka, dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” maklum kenyataan itu.

Terdahulu, seorang peserta Ekspedisi Denali anjuran Kelab Jelajah Alpine Malaysia, Zulkifli Yusuf, 37, dilapor meninggal dunia selepas terkandas ketika mendaki Gunung Denali yang merupakan puncak tertinggi di benua Amerika Utara, Rabu lalu.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 6 pagi 29 Mei lalu ketika mangsa dan rakan pendaki, Zainudin Lot, berlindung dalam gua salji di kawasan dikenali sebagai football field pada ketinggian 19,700 kaki dari aras laut.

BACA JUGA Pengaruh PH tiga penggal di Sungai Bakap peluang cerah rampas kerusi PN