Gara-gara ‘upah’ cecah RM1.55 juta, bekas Datuk Bandar ini diheret ke mahkamah
Sebanyak 12 pertuduhan menerima rasuah dengan nilai keseluruhan RM1.55 juta antara 2020 hingga 2021.
Itu pertuduhan dihadapi bekas Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Adib Azhari Daud, 64, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.
Bagaimanapun, dia membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Menurut kertas pertuduhan, Adib Azhari yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar MBJB menerima rasuah dengan nilai antara RM10,000 hingga RM250,000 daripada dua individu berbeza melalui seorang pengantara.
Rasuah itu sebagai upah membantu mendapatkan pelbagai kerja projek kontraktor, dalam kejadian antara 26 Jun 2020 hingga 6 Ogos 2021 di Jalan Serama 7, Larkin.
Antara projek terbabit termasuk kerja penyelenggaraan tahunan sistem mekanikal dan elektrikal pam kawalan banjir Sungai Sengkuang, Sungai Chat dan Sungai Segget bagi tempoh 24 bulan, selain kerja mengganti paip pembetungan kumbahan dan kerja penyelenggaraan rangkaian paip pembetungan awam dalam tempoh 12 bulan.
Selain itu, ia juga sebagai upah bagi mendapatkan kerja penyelenggaraan sistem pembetungan berpusat, kerja pembaikan tebing runtuh, kerja penyelenggaraan loji rawatan kumbahan berpusat dan tebatan banjir Sungai Segget bagi tempoh 24 bulan, kerja penyelenggaraan tahunan landskap tepi jalan dan penyelenggaraan cantas serta tebang pokok di kawasan pentadbiran MBJB.
Didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Natrah Fareha Rahmat, manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM120,000 dengan dua penjamin tempatan, dengan pembayaran dua kali iaitu hari ini dan lusa berikutan cuti umum, selain syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali dan larangan mengganggu mana-mana saksi.
Mahkamah menetapkan 3 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
BACA JUGA ‘Jawablah di RCI, tak perlu ulas panjang’, ramai kritik sikap Mahathir
Â