‘Jawablah di RCI, tak perlu ulas panjang’, ramai kritik sikap Mahathir

Orang ramai dilihat mengkritik sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengulas panjang selepas diarah hadir ke prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (RCI Batu Puteh).

Bekas Perdana Menteri dua kali itu dipanggil berbuat demikian pada 12 Jun depan.

Bagaimanapun, Mahathir menerusi laman X berkata, beliau akan menghadiri prosiding itu tetapi sangat berharap supaya RCI tersebut diadakan secara terbuka dan orang awam dapat mengikuti prosiding sepenuhnya.

“Ini kerana sebelum ini pelbagai tohmahan dan tuduhan telah dituju kepada saya secara terbuka dan mendapat laporan media secara meluas.

“Dan tuduhan-tuduhan tersebut dibuat termasuk oleh ahli jemaah Menteri sekarang antara lain bahawa saya membuat keputusan secara sembunyi-sembunyi dan secara sendirian.

“Jika semua tohmahan ini dibuat secara terbuka kenapakah jawapan dan penerangan saya perlu dibuat secara tertutup,” katanya kelmarin.

Menjengah ke ruang komen di laman X Mahathir, rata-rata berpendapat bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu tidak perlu banyak ‘bunyi’ lagi memandangkan prosiding tersebut bukannya kempen pilihan raya untuk meraih undi.

“Jawablah di RCI, tak payah nak ulas panjang-panJang. RCI ni bUKAN PRU nak cari undi. Kalau betul nak takut apa, lainlah kalau salah.

“Dah panggil pergilah bukan cerita di sini.

“Orang panggil cara elok hang mengelak hadir, lepas tu bila didedahkan dalam Dewan Negara, hang spin kata tak ada notis ni sampai mahkamah keluarkan sapina duk acah play victim pula.

“Tak payah cakap banyak, hadir sajalah kalau berani sama juga bab isytihar harta sampai bila nak tangguh,” demikian antara komentar netizen.

Dalam masa sama, ramai secara sinis berharap Mahathir diberi ingatan yang kuat semasa prosiding tersebut berlangsung.

“Tolong jangan kata saya tak ingat semasa disoal ya Tun. Semoga Allah SWT menguatkan daya ingatan Tun sebab pengalaman lalu, Tun ni asyik kata saya tak ingat,” kata pengguna X, @SurayaAOfficial.

Pada 1 April lalu, Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Negara mendedahkan bahawa Mahathir yang membuat keputusan secara sembunyi adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dalam proses rayuan di mahkamah antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tersebut berkata Perdana Menteri ketika itu membuat keputusan secara bersendirian, tanpa sesiapa mengetahuinya termasuk Peguam Negara yang bercuti ketika itu.

Tanpa menamakan Perdana Menteri berkenaan, Azalina menjelaskan, perkara itu berlaku bukan ketika beliau menjawat jawatan Menteri .

Azalina menegaskan bahawa Malaysia tidak akan kehilangan Batu Puteh itu jika peristiwa itu berlaku ketika beliau menjadi menteri.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak memberikan kepercayaan kepada RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang ditubuhkan untuk mencari kaedah penyelesaian serta penambahbaikan mengenai sebarang isu membabitkan kedaulatan negara.

BACA JUGA Gadis kongsi kisah pakcik dan buku, banyak cadangan untuk mereka yang tak mampu beli