Gempar polis dah rampas telefon ibu bapa Zayn Rayyan

Polis sudah merampas telefon bimbit milik ibu dan bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin bagi siasatan lanjut berkaitan pembunuhan kanak-kanak autistik itu.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, tindakan tersebut diambil selepas pasangan itu direman selama tujuh hari bermula semalam.

“Rampasan itu adalah untuk bantu siasatan.

“Lain-lain perkara kita (polis) tidak dapat dedahkan lagi,” katanya,dipetik Kosmo.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di sebuah sungai berdekatan lokasi hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Disember tahun lalu.

Gempar sejak semalam apabila ibu bapa Zayn Rayyan dilapor ditahan dan direman tujuh hari hingga 7 Jun bagi membantu siasatan pembunuhan tragis kanak-kanak yang meruntun jiwa jutaan rakyat Malaysia.

Kedua-dua pasangan berusia 28 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.

Sehari sebelum itu, saksi mendedahkan terlihat Zayn Rayyan di tingkat dua dan tiga Blok R kira-kira 5 petang, hari mangsa dilaporkan hilang.

Pihak polis mendedahkan terdapat kesan jerutan dan pergelutan ditemui pada tubuh kanak-kanak berusia enam tahun itu.

Kes Zayn Rayyan menyaksikan seramai 238 individu setakat 14 Disember lalu telah diambil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu siasatan.

Dalam masa sama, polis melakukan pemeriksaan di 2,484 unit rumah membabitkan 18 blok dan premis perniagaan.

BACA JUGA Lagi gempa bumi landa Sabah