Kes pengiring VIP pukul OKU: Ini respon Azalina

Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mana-mana pihak boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang telah diwujudkan sebagai langkah alternatif selaras dengan komitmen kerajaan Madani untuk melindungi hak rakyat terutama golongan rentan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu berkata ekoran wujud pihak tertentu yang meragui siasatan kes seorang anggota pengiring orang kenamaan didakwa memukul seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU).

“Bagi negara yang mengamalkan kedaulatan undang-undang seperti Malaysia, tiada sesiapa pun yang melebihi undang-undang dan konsep undang-undang memperuntukkan bahawa seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan dia bersalah,” katanya menerusi hantaran di laman X hari ini.

Dalam masa sama, Azalina turut menzahirkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas titah pandangan serta saranan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dalam kes berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan pada 1 tengah hari, 28 Mei oleh mangsa iaitu pemandu e-panggilan yang mendakwa telah diserang oleh seorang individu yang merupakan pengiring kepada rombongan kenamaan.

Dia dipukul ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Brickfields dan mendakwa ditumbuk di kepala dan diminta untuk mengalihkan kenderaannya.

Mangsa yang berusia 46 tahun kemudian membuat laporan kedua pada 9.59 malam hari sama menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik dan tidak mahu memanjangkan kes.

BACA JUGA Penalti masuk tanpa permit haji mula dikuatkuasa

Â