Ramai pelajar gembira raih manfaat, lebih 100,000 baucar buku sudah ditebus

Pemberian baucar buku yang bermula 31 Mei lalu sudah ditebus lebih 100,000 pelajar di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) hanya dalam tempoh tiga hari sahaja.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, penebusan baucar buku itu membabitkan 56,466 di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) dan 50,000 di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Jelasnya, jumlah buku yang terjual hasil penebusan baucar itu ialah sebanyak 122,759 dengan nilai keseluruhan RM614,617.

“Baucar ini menjadi pemangkin minat membaca yang memberi manfaat kepada anak-anak.

“Sebanyak tiga kategori tertinggi buku yang dibeli menggunakan baucar membabitkan pendidikan sebanyak 1,822, buku akademik (1,774) dan umum (1,625),” katanya kepada pemberita, hari ini.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa ibu bapa masih mempunyai masa untuk menebus baucar buku bernilai RM100 itu sehingga 31 Disember ini.

Terdahulu, Fadhlina merasmikan penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 ke-41, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), malam ini.

Pemberian baucar buku bernilai RM100 itu bagi pelajar tahap dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat IPT.

Baucar buku itu boleh ditebus murid atau pelajar menggunakan aplikasi DELIMa dan Kota Buku Digital.

BACA JUGA Kes pengiring VIP pukul OKU: Ini respon Azalina

Â