Belum muktamad calon PRK Sungai Bakap lagi, Pas masih perhalusi senarai
Belum ada calon PRK Sungai Bakap lagi, Pas Pulau Pinang masih memperinci dan memperhalusi senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff, berkata senarai calon belum dimuktamad kerana pihaknya masih membuka ruang kepada semua untuk memberi pandangan termasuk di peringkat akar umbi.
“Sama ada terdapat calon dalam kalangan ahli keluarga Allahyarham (Nor Zamri Latiff), itu kita kena tunggu tetapi calon yang disenarai pendek perlu dikaji banyak sudut antaranya personaliti calon itu sendiri sebab itu kita mengambil sedikit masa untuk memuktamadkan senarai nama calon,” katanya, dipetik Bernama.
Fauzi berkata, nama calon yang disenarai pendek mungkin diserah kepada pucuk pimpinan selepas mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 6 Jun ini, tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa.
Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Bersatu kerana memberi laluan kepada Pas untuk mempertahankan kerusi itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat khas 6 Jun ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRK DUN Sungai Bakap.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Allahyarham yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal memenangi Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
BACA JUGA Sah PKR letak calon bertanding di PRK DUN Sungai Bakap
Â