Sah PKR letak calon bertanding di PRK DUN Sungai Bakap

Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang akan berlangsung tidak lama lagi menyaksikan PKR bakal meletakkan calonnya mewakili Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Chow Kon Yeow berkata tiada parti lain dalam komponen Kerajaan Perpaduan menuntut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang secara tradisi ditandingi PKR pada pilihan raya sebelum ini.

Ketua Menteri itu juga berkata, barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang telah memutuskan dengan sebulat suara bahawa parti PKR akan menghantar calon atas semangat parti yang bertanding sebelum ini diberi keutamaan untuk bertanding semula.

“Jadi, kita akan masuk pertandingan ini atas semangat kebersamaan yang kita sudah jalinkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu dan PKR sedia menyahut mandat memilih seorang calon bagi PRK Sungai Bakap.

“Dalam hal ini, parti lain tidak meminta untuk bertanding atas semangat kebersamaan (malah) sebelum kita buat keputusan semua parti menyatakan sokongan kepada PKR untuk menghantar calon dan ia keputusan ‘straight forward’ tanpa ada sebarang pertikaian,” katanya.

Kon Yeow berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kerajaan Perpaduan negeri di Wisma DAP di Georgetown hari ini.

Turut dihadiri Naib Presiden PKR merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid selaku Timbalan Pengerusi MPN Pulau Pinang.

Hadir sama, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang Muhammad Faiz Fadzil.

Kon Yeow turut mengumumkan Mohamad yang juga dikenali sebagai Prof. Mat sebagai Pengarah PRK Sungai Bakap.

Sementara itu, katanya, empat lagi nama Timbalan Pengarah PRK yang mewakili semua parti komponen Kerajaan Perpaduan akan dimaklumkan kemudian.

Beliau menambah pihaknya akan membincangkan strategi, gerak kerja, penubuhan jawatankuasa berkaitan termasuk membincangkan isu-isu yang perlu diberi perhatian bermula dari sekarang sehingga bermulanya PRK Sungai Bakap akan datang.

“Mesyuarat menunjukkan semangat perpaduan yang amat kuat di mana semua pimpinan Kerajaan Perpaduan dengan teguhnya menyatakan akan bertanding secara ‘all out’ (habis-habisan) untuk membawa mesej perpaduan kepada rakyat jelata,” katanya lagi.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi urusan PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Jun ini.

PRK DUN yang terletak di bawah kerusi Parlimen Nibong Tebal itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff dari Pas pada 24 Mei lalu.

Allahyarham memenangi Pilihan Raya Negeri lalu menentang calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

BACA JUGA Barang kemas dalam peti besi 200 kg lesap, rumah Kieda Crepe dipecah masuk

Â