Ketepi ‘saranghaeyo’, Malaysia muncul negara teratas paling disayangi di Asia

Berjaya mengetepikan Korea Selatan yang digilai remaja, Malaysia muncul di tangga pertama bagi kategori negara paling disayangi dalam kalangan 20 negara Asia yang lain.

Hasil penyelidikan portal antarabangsa, Insider Monkey mendedahkan Malaysia berjaya berada di kedudukan teratas mengenepikan negara-negara Asia lain.

Antaranya Singapura pada tangga ketiga, Jepun tangga keempat, Korea Selatan tangga keenam, Thailand tangga ke-11 dan Indonesia tangga ke-12.

Malaysia ibarat kecil-kecil cili padi di Benua Asia.

Penyenaraian itu berdasarkan lima artikel yang diterbitkan oleh portal sepanjang tahun 2023.

Ia meliputi 15 Negara Paling Dihormati di Asia, 15 Negara Paling Mesra di Asia, 20 Negara Paling Banyak Dilawati di Asia, 20 Negara Paling Pelbagai di Asia serta Negara Paling Demokratik di Asia.

Markah keseluruhan Malaysia direkodkan sebanyak 0.701, jauh meninggalkan Taiwan di tangga kedua yang hanya memperoleh 0.595 markah.

“Malaysia ialah negara yang paling disayangi di Asia kerana ia berada pada kedudukan tinggi pada semua metrik yang dipertimbangkan dalam penyelidikan kami.

“Ia adalah negara keenam paling demokratik di benua itu.

“Selain itu, ia adalah negara kelima paling banyak dikunjungi di Asia, mengalu-alukan lebih 10 juta pelancong pada tahun 2022,” lapor Insider Monkey lagi.

BACA JUGA Sah PKR letak calon bertanding di PRK DUN Sungai Bakap