Ribuan menggelupur cari perlindungan, kebakaran meletus penangan dron Hizbullah
Kira-kira 75,000 penduduk bandar pesisir pantai Nahariya di Israel semalam menggelupur lari mencari perlindungan sejurus berbunyinya siren gara-gara diserang dron pejuang Lubnan Hizbullah.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bagaimanapun berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan serangan itu hanya menyebabkan kebakaran.
Tentera negara pembunuh itu mendakwa mereka bertindak balas sepanjang hari dengan menyerang sasaran Hizbullah yang dilakukan secara berterusan dari Lubnan di utara Israel.
Nahariya yang dulunya didatangi pelarian Jerman-Yahudi pada tahun 1934 terletak kira-kira tujuh kilometer dari sempadan Lubnan.
Menerusi kenyataannya, IDF mendakwa bahawa mereka cuba untuk memintas dron itu namun gagal.
Sejak zionis melancarkan genosid di Palestin pada Oktober tahun lalu, sempadan antara Lubnan dan Israel tidak pernah sunyi daripada pertempuran.
Hampir setiap hari gerakan Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan menyerang utara Israel dengan dron dan peluru berpandu.
Bagaimanapun, IDF memaklumkan sistem pertahanan udara iaitu Iron Dome, berjaya memintas serangan udara mencurigakan yang menyeberang dari Lubnan.
BACA JUGA Tamatkan pegawai penyelaras DUN dari AMANAH langgar semangat Kerajaan Perpaduan