Tamatkan pegawai penyelaras DUN dari AMANAH langgar semangat Kerajaan Perpaduan

AMANAH Kawasan Hulu Selangor menyifatkan tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari menamatkan perkhidmatan Pegawai Penyelaras DUN Hulu Bernam dari Parti Amanah Negara (AMANAH) tanpa persetujuan bersama sebagai melanggar persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat akar umbi.

Naibnya, Mohammad Syafiq Musa berkata, sebelum ini telah dipersetujui dan diberikan tanggungjawab sebagai Penyelaras DUN kepada parti-parti yang bertanding mengikut pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Oleh sebab itu, katanya, tindakan Amiruddin sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri dan Menteri Besar Kerajaan Perpaduan di Selangor jelas membelakangkan semangat tersebut dan menafikan komitmen AMANAH kepada kerajaan negeri selama ini khususnya di Hulu Selangor.

Syafiq Musa

“AMANAH Hulu Selangor dengan penuh hormat kepada kepimpinan YAB Datuk Seri Amirudin Shari telah mengutus surat memohon penjelasan tentang perkara ini namun masih belum mendapat jawapan daripada beliau.

“Kami juga dimaklumkan bahawa tindakan tersebut merupakan langkah politik pihak tertentu yang berusaha menempatkan diri di Batang Kali yang sepatutnya diberikan kepada UMNO.

“Rentetan tindakan tersebut, bagi menggantikan Penyelaras DUN Batang Kali yang sepatutnya milik UMNO, Pegawai Penyelaras DUN Hulu Bernam daripada AMANAH ditamatkan perkhidmatan secara tergesa-gesa dan tanpa penjelasan sebagai ganti kepada UMNO,” jelasnya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, Syafiq berkata, AMANAH Kawasan Hulu Selangor secara tegas ingin menyatakan bahawa mereka sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana jelas tidak membawa semangat kebersamaan yang dilaung-laungkan selama AMANAH berada dalam Pakatan Harapan (PH).

BACA JUGA 1.8 juta pengunjung PBAKL bukti ekonomi negara kukuh, penerbit untung, ada lepasi sasaran 200 peratus