Bimbang ‘Banjir Baling’ berulang, penduduk gesa Kedah henti pembalakan Hutan Simpan Gunung Bongsu
Sekumpulan penduduk di Kulim, Kedah menggesa kerajaan negeri menghentikan segera aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Bongsu.
Mereka beramai-ramai termasuk aktivis alam sekitar bersolidariti menuntut agar hutan tersebut dilindungi.
Dalam satu kenyataan oleh Ketua Cabang PKR Kulim Bandar Baharu, Teh Lean Ong, pimpinan kerajaan negeri perlu memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk terjamin.
Katanya, Hutan Simpan Gunung Bongsu bukan sahaja penting dari segi ekologi, tetapi juga sebagai sumber mata pencarian dan kesejahteraan bagi ribuan penduduk kampung yang tinggal berhampiran.
“Kawasan pembalakan yang diluluskan itu dipercayai melibatkan 500 hektar tanah iaitu dianggarkan saiz yang sama besar dengan pembalakan yang berlaku di Iboi, Baling, yang telah menyebabkan bencana alam yang teruk di daerah tersebut,” katanya dalam kenyataan
Menurutnya, bencana di Iboi, berlaku tidak jauh dari lokasi pembalakan iaitu sekitar empat kilometer (km) dan telah mengakibatkan kemusnahan besar terhadap harta benda, ekosistem, dan nyawa penduduk setempat.
Kini katanyaz dengan jarak hanya lebih kurang tiga km dari kawasan pembalakan yang baru diluluskan di Hutan Simpan Gunung Bongsu, kebimbangan penduduk sekitar semakin memuncak sekiranya berlaku tragedi sama.
Sementara itu Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dilaporkan berkata, akan memastikan aktiviti pembalakan di Gunung Bongsu, memberi kesan alam sekitar yang minimum kepada penduduk sekiranya dilaksanakan kelak.
Pada kenyataan, JPNK berkata, mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi Negeri Kedah (JKTHB) pada 14 Disember 2014 meluluskan permohonan pembangunan ladang hutan di Kompartmen 15, 42 dan 43 Hutan Simpan Gunung Bongsu seluas 500 hektar kepada Perbadanan Menteri Besar Kedah.
Bagaimanapun, kawasan terbabit belum dijalankan kerja-kerja pembalakan bagi tujuan pembangunan ladang hutan dan masih dalam proses penyediaan Rancangan Pengurusan Ladang Hutan (RPLH).
BACA JUGA Ketepi ‘saranghaeyo’, Malaysia muncul teratas negara paling disayangi di Asia
Â