Gempar peguam ibu bapa Zayn Rayyan tarik diri, apa dah jadi?

Teka-teki mengenai penahanan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, terus menjadi persoalan selepas polis sehingga kini tidak mendedahkan punca tangkapan tersebut.

Terus menambah tanda tanya apabila peguam yang mewakili pasangan suami isteri itu dilaporkan telah menarik diri sebagai peguam mereka bermula hari ini.

Mahmud Abdul Jumaat dari Tetuan  Emir Mahmud & Co berkata, keputusan itu terpaksa dibuat atas sebab yang tidak dapat dielakkan kerana mahu memberi tumpuan kepada beberapa kes lain yang sedang dikendalikannya.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya menarik diri dari mewakili ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin kerana ingin memberi tumpuan kepada kes-kes lain yang sedang saya kendalikan.

“Saya berdoa agar perjalanan kes ini berjalan lancar mengikut proses undang-undang sedia ada.

“Sebagai pengamal undang-undang, saya ingin menasihati semua pihak agar menghormati proses undang-undang dan tidak membuat spekulasi liar mengenai kes ini demi kebaikan bersama,” katanya.

Pada 1 Jun, negara dikejutkan dengan penahanan kedua-dua ibu bapa Zayn bagi membantu siasatan pembunuhan kanak-kanak itu.

Namun menurut polis, tangkapan dibuat berdasarkan risikan polis yang dilakukan sejak hari pertama kejadian berlaku sehingga kini.

BACA JUGA Pengasas, pemilik Sabasun meninggal dunia, hilang sebutir permata

Â