‘Cahaya di hujung terowong’, Kabinet setuju Akta 50 dipinda, dibentang di Parlimen
Kabinet akhirnya bersetuju agar Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dipinda bagi menyelesaikan kemelut pendaftaran pakar perubatan yang mendapat kelayakan kepakaran melalui laluan paralel atau ‘Parallel Pathway’.
Akta 50 dipinda agar semua pelatih, terutama mereka yang mengikuti program itu, dapat didaftarkan dan diiktiraf dalam Daftar Pakar Kebangsaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, draf Rang Undang-undang untuk pindaan tersebut telah pun siap dan kini disemak Jabatan Peguam Negara sebelum dibentang semula ke Kabinet.
Menurutnya, pindaan tersebut akan dibentangkan pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 2024 setelah diluluskan oleh Jemaah Menteri.
“Menteri Kesihatan dan Menteri Pendidikan Tinggi telah mengemukakan secara bersama sebuah Memorandum Jemaah Menteri mengenai cadangan pindaan Akta 50 pada hari ini.
“Jemaah Menteri cakna akan keperluan perkhidmatan kepakaran di semua fasiliti kesihatan yang semakin meningkat di seluruh negara.
“Laluan paralel yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan program sarjana perubatan yang dilaksanakan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan berfungsi untuk melahirkan lebih ramai pakar bagi memenuhi keperluan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Melalui pindaan yang akan dibuat, kedua-dua laluan latihan kepakaran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dari aspek perundangan.
Dengan itu juga, para doktor yang telah menyempurnakan mana-mana program seperti di atas akan dapat didaftarkan sebagai pakar perubatan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Ini sekaligus kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, membolehkan segala isu-isu berbangkit diselesaikan segera.
KKM akan memastikan bahawa kualiti latihan dan perkhidmatan, kompetensi pengamal dan pakar perubatan, serta aspek keselamatan pesakit tetap terjamin apabila pindaan ini dibuat nanti.
BACA JUGA Pas pergi mana masa rumah penduduk Jalan Atas Paloh kena roboh? – Netizen tanya