Fahmi sering nantikan persembahan Pyanhabib

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkongsikan kenangannya dengan Allahyarham Pyanhabib yang sering menantikan persembahan bacaan sajak oleh penyair itu pada awal perjalanannya sebagai seorang penggiat seni.

Beliau menyifatkan Allahyarham Pyanhabib sebagai seniman serba boleh yang disayangi ramai serta banyak memberi inspirasi kepadanya.

“Baru menerima khabar sedih tentang pemergian Mohd Supyan Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Pyanhabib.

“Allahyarham seorang penyajak, penulis, pelakon dan seniman yang amat disayangi dan disegani,” katanya menerusi perkongsian dimuat naik dalam Instagram.

Fahmi turut menceritakan detik terakhir bertemu sebelum industri dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham.

“Kali terakhir kami bekerjasama ketika melakukan ‘cameo’ dalam video Malaysia MADANI, nyanyian Bunkface, tahun lalu,” ujarnya.

Dalam masa sama, Fahmi merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham serta menyifatkan pemergian seniman itu sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni dan sastera.

“Pemergian Allahyarham akan diratapi seniman tanah air. Tenanglah dikau di negeri abadi.

“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Al-Fatihah,” kata Fahmi lagi.

Pyanhabib meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, Selangor malam tadi seminggu selepas menyambut ulang tahun kelahiran ke-66.

Pemilik kepada nama sebenar Mohd Supyan Abdul Rahman itu ada menyebut tentang ‘usia subsidi’ sempena ulang tahun kelahirannya pada 27 Mei lalu.

“Nabi Muhammad SAW wafat pada usia 63 tahun dan saya hidup pada usia subsidi diberi Allah. Allahu!” tulisnya yang merupakan catatan terakhir beliau di Facebook.

BACA JUGA Pyanhabib dijemput Ilahi pada ‘usia subsidi’