Hilang undi majoriti dua pertiga buat kali pertama dalam tempoh sedekad

Gabungan parti politik yang diterajui oleh Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Narendra Modi hilang undi majoriti dua pertiga kerusi Parlimen semalam buat kali pertama dalam tempoh sedekad.

Walau bagaimanapun, Modi dan parti nasionalis Hindu yang dipimpinnya masih memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) negara itu.

Seramai 312 juta atau hampir separuh daripada 642 juta pemilih berdaftar yang keluar mengundi adalah wanita.

Menurut keputusan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lewat petang semalam, BJP memenangi 240 kerusi berbanding 303 kerusi pada pilihan raya lalu.

Keputusan pilihan raya yang diadakan ketika gelombang panas membadai sebahagian besar India itu bermaksud BJP perlu bergantung kepada rakan-rakan gabungannya untuk meluluskan undang-undang di Parlimen.

Narendra Modi dan parti gabungannya memenangi pilihan raya umum India walaupun hilang undi majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.

Modi, ketika berucap bagi meraikan kemenangan di hadapan orang ramai di New Delhi berkata, India memberi mandat kepada parti dan sekutunya buat kali ketiga berturut-turut.

Dalam pilihan raya yang menyaksikan peratusan keluar mengundi lebih rendah itu, parti pembangkang memperoleh 99 kerusi, meningkat dua kali ganda daripada 52 kerusi pada 2019.

Pemimpin utama pembangkang, Rahul Gandhi, menyifatkan jumlah kerusi diperoleh pihaknya menunjukkan penduduk negara itu tidak lagi mahukan Modi.

“Negara telah berkata kepada Narendra Modi. Kami tidak mahu kamu. Saya yakin rakyat negara ini memberikan tindak balas yang betul,” katanya.

Memetik AFP, Modi diangkat semula untuk terus mewakili kawasannya yang dianggap kota suci Hindu, Varanasi, dengan julat 152,300 undi berbanding hampir setengah juta undi lima tahun lalu.

Sejumlah 642 juta daripada 968 juta pemilih berdaftar di negara ini, mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang selesai dijalankan 1 Jun lalu selepas berlangsung selama enam minggu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya India, peratusan keluar mengundi mencatat penurunan walaupun bilangan itu lebih tinggi berbanding 612 juta pemilih mengundi pada PRU 2019.

Pilihan raya India kali ini menyaksikan 66.3 peratus pemilih keluar mengundi, merosot sedikit berbanding 67.4 peratus pada pemilihan lima tahun lalu.

Proses pengundian itu diadakan dalam tujuh fasa mulai 19 April lalu ketika cuaca panas terik melanda sebahagian besar India dengan suhu melonjak hingga mencecah hampir 50 darjah Celsius di beberapa wilayah utara dan barat laut.

BACA JUGA Cukai jalan kenderaan elektrik adil, sebelum ini orang kaya ambil subsidi petrol lebih banyak

Â