Pegawai JAIPs, imam masjid direman, didakwa terima rasuah lebih RM1 juta seorang
Pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan imam sebuah masjid di Kangar, direman selepas didakwa menerima rasuah berjumlah RM1,183,140 berhubung pengurusan pendaftaran pernikahan di negeri itu sejak dua tahun lalu.
Menurut laporan, tiga individu termasuk anak kepada imam masjid akan direman selama lima hari sehingga 9 Jun ini, bagi membantu siasatan berhubung penerimaan suapan sejak April 2022 sehingga Jun 2023.
Ketiga-tiganya yang berusia 25 hingga 52 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis di beberapa lokasi berasingan di Kangar, semalam, lapor Harian Metro.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, selepas ketiga-tiganya dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar, hari ini
Sumber SPRM berkata, dalang yang bertugas sebagai penjawat awam berusia 45 tahun ditahan di pejabat JAIPs, jam 4.10 petang.
Manakala dua lagi ditahan di Pejabat SPRM Perlis di Kangar, jam 6 hingga 6.15 petang, selepas dipanggil untuk memberi keterangan.
“Dalang dipercayai bekerjasama dengan imam masjid dan anak kepada imam berkenaan yang juga pemilik sebuah syarikat yang bertindak sebagai perunding dalam menguruskan urusan pernikahan di Perlis.
“Siasatan awal kita pada waktu ini mendapati, bagi setiap permohonan nikah, terutama untuk pasangan yang bernikah di Thailand dan mahu mendaftarkan pernikahannya itu semula di negara ini, mereka akan berhubung dengan syarikat yang menguruskan pernikahan ini yang dimiliki oleh anak kepada imam masjid itu.
“Syarikat yang beroperasi di Kangar ini kemudian akan meminta pasangan yang mahu mendaftarkan pernikahan itu bayaran sekitar RM5,000 sebagai wang pendaftaran pernikahan berkenaan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar.
Katanya, daripada jumlah itu, RM2,000 akan dibayar kepada dalang iaitu pegawai JAIPs sebagai wang denda pasangan terbabit kerana bernikah di Thailand.
“Bakinya dibahagikan sesama mereka bertiga. Ketiga-tiganya disyaki terbabit dalam urusan pendaftaran pernikahan yang tidak mengikut prosedur yang ditetapkan seperti pasangan tidak bermastautin mengikut tempoh seperti sepatutnya.
“Siasatan turut mendapati, terdapat juga kesalahan pasangan tidak hadir dan tidak dicatatkan dalam buku daftar pernikahan selain tidak melalui Mahkamah Syariah,” katanya.
BACA JUGA Pas pergi mana masa rumah penduduk Jalan Atas Paloh kena roboh? – Netizen tanya
Â