Sindiket elak cukai terbesar di Pelabuhan Klang tumpas, terkejut sebesar ini jumlah ketirisannya

Sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai terbesar di Pelabuhan Klang membabitkan ketirisan berjumlah RM3.5 bilion sejak 10 tahun lalu, berjaya dibongkar oleh pasukan khas yang diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam operasi khas di Selangor dan Kuala Lumpur baru-baru ini, pasukan khas tiga agensi telah menahan sebanyak 19 buah lori kontena disyaki membawa pelbagai jenis barangan ‘lari cukai’ yang diseludup keluar tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.

Selain SPRM, pasukan khas risikan turut melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sumber SPRM berkata, risikan pasukan khas berjaya mengesan 10 syarikat forwarding (ejen penghantar) yang digunakan bagi menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu.

“Dianggarkan sindiket ini menguruskan lebih kurang 3,000 kontena sebulan. 

“Hasil ketirisan cukai bagi tempoh 10 tahun dianggarkan sebanyak RM3.5 billion berdasarkan cukai minimum RM7,000 bagi setiap kontena.

“Bagi mengelak dikenakan cukai, sindiket ini membuat pengisytiharan palsu menggunakan borang kastam 9 (untuk tujuan pecah kecil pukal) dengan mengisytihar barangan tidak bercukai seperti kerusi roda dan barangan perubatan,” katanya.

Jelas sumber itu, sindiket tersebut dipercayai didalangi oleh seorang lelaki warga asing yang mana ibu pejabatnya dipercayai berada di luar negara.

Sindiket itu dipercayai sudah beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu.

“Hasil risikan dijalankan lebih tiga bulan mendapati modus operandi sindiket ini adalah menggunakan pelbagai syarikat forwarding yang didaftarkan atas nama-nama individu yang tidak tahu-menahu mengenai urusan import serta eksport berkenaan.

“Ia bertujuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain bagi membolehkan ahli-ahli sindiket ini terlepas sebarang tindakan dengan alasan tidak mempunyai kaitan dengan syarikat-syarikat berkenaan,” katanya.

Katanya, hasil risikan juga mendedahkan, kontena itu akan memasuki Gudang Berlesen Awam Pelabuhan Utara hanya untuk tempoh 10 hingga 15 minit sahaja bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta tidak melalui proses pemeriksaan kastam dan terus keluar untuk diedarkan ke seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata pihaknya telah membuat tangkapan serta mendapat perintah reman empat hari terhadap dua individu disyaki terlibat sindiket berkenaan.

“Kami juga mengenal pasti identiti semua pihak termasuk dalang utama dipercayai berada di luar negara, pemilik syarikat, ejen forwarding serta pegawai-pegawai kastam yang bersekongkol dengan sindiket ini dan akan menahan mereka dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh termasuk bawah Akta SPRM 2009, Akta Pengubahan Wang Haram, Akta Kastam 1967 dan akta bawah LHDN.

Mac lalu, SPRM berjaya membongkar sindiket penyeludupan dan lari cukai di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun.

BACA JUGA Ada orang hantar bom masuk dalam bangunan kementerian Tiong King Sing