Terjawab akhirnya apa dalam ‘bungkusan bom’ di MOTAC, ini hasil siasatan polis

Hasil siasatan Unit Pemusnah Bom petang tadi akhirnya menjawab berkenaan bungkusan dipercayai mengandungi bom yang dihantar ke bangunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini.

Polis telah mengesahkan bungkusan yang dihantar pada jam 11.19 pagi itu ke bangunan tersebut adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, bungkusan dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran itu dikategorikan sebagai ‘hoax’ atau hampir menyerupai bom sebenar.

“Untuk makluman, Unit Pemusnah Bom (UPB), baru sahaja selesai membuat siasatan berkaitan satu objek yang boleh dikategorikan sebagai ‘hoax’ atau bom yang hampir menyerupai (bom sebenar), ia guna batang paip pvc dan ada juga penetap masa.

“Tindakan telah diambil dan kita dapati ia bom palsu atau hampir menyerupai yang dikenali sebagai ‘hoax’,” katanya pada sidang media di Bangunan MOTAC di sini tadi.

Menjelaskan lanjut situasi yang berlaku, A. Asmadi berkata bungkusan yang dihantar pagi tadi diambil sekitar jam 2.45 petang di lobi bangunan sebelum dihantar ke tingkat 14.

Susulan itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pertama pada pukul 3.21 petang yang turut dibuat oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing.

“Untuk makluman, bungkusan itu dihantar pada pukul 11.19 pagi dan diambil pada pukul 2.45 petang di lobi bangunan sebelum dihantar ke tingkat 14.

“Ketika serahan dibuat, kotak itu mengandungi paip pvc dan wayar yang dipercayai bom pada awalnya sebelum menggunakan khidmat UPB dan anjing pengesan untuk pengesahan,” jelasnya.

Katanya, bungkusan itu akhirnya disahkan sebagai negatif dan kakitangan kementerian dibenarkan untuk memasuki premis semula.

Jelasnya, kes itu akan disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 serta beberapa akta lain yang berkaitan. 

BACA JUGA Sindiket elak cukai terbesar di Pelabuhan Klang tumpas, terkejut sebesar ini jumlah ketirisannya