Banyak rupanya dah dijual, polis rampas barangan kemas berbaki RM40,000

Polis merampas barangan kemas bernilai RM40,000 dipercayai milik usahawan popular, Kieda Crepe selepas sebahagian besarnya sudah dijual.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Zulkeflee Sulaiman, berkata, pihaknya akan memanggil Kieda untuk membuat pengecaman barang kemas yang dirampas terbabit.

Menurutnya, empat sekawan ditahan bagi siasatan kes kecurian barang kemas terbabit dari rumah Kieda dekat Pokok Sena di Butterworth.

Suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 pagi tadi di hadapan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Jelasnya, keempat-empat suspek sebelum itu menghadiri perbicaraan kes pecah rumah yang dihadapi mereka.

“Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk direman bagi membantu siasatan kes pempengaruh media sosial.

“Mahkamah membenarkan polis menahan reman kesemua suspek selama enam hari bermula hari ini hingga Selasa (11 Jun),” katanya.

Beliau menambah, tangkapan empat suspek terbabit diyakini berjaya menyelesaikan kes pecah masuk dan melarikan barang kemas milik Kieda.

Kieda ditemani suaminya menceritakan tentang peti besi mengandungi barangan kemas bernilai RM800,000 yang dilarikan perompak.

Pempengaruh media sosial berkenaan sebelum ini mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM800,000 selepas peti besi mengandungi barangan kemas miliknya dilarikan perompak yang memecah masuk rumahnya pada 25 April lalu.

Hal itu dikongsikan sendiri oleh Kieda atau nama sebenarnya Siti Nur Khalieda Yusra,27 menerusi platform Tiktok, dengan ditemani suaminya, Muhammad Hilmi Mohd Zaki.

BACA JUGA Tak lama je lagi, SPR akhirnya umum tarikh PRK DUN Sungai Bakap

Â