Tak lama je lagi, SPR akhirnya umum tarikh PRK DUN Sungai Bakap
Hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang adalah pada 6 Julai depan.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.
Beliau berkata, tempoh berkempen akan ditetapkan selama 14 hari bermula pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 5 Julai.
“Sehubungan itu, bagi urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka bermula hari ini.
“Tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media adalah pada 20 Jun ini.
“Bagi kategori 1B dan 1C iaitu membabitkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara serta agensi atau organisasi, tarikh akhir permohonan adalah pada 13 Jun ini,” katanya.
Beliau mengumumkan pekara tersebut pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas PRK DUN Sungai Bakap, hari ini.
Pada 24 Mei lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff dilapor meninggal dunia selepas lebih tiga minggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
BACA JUGA Budi Madani disalur 10 Jun, siapa tiada akaun bank ini cara nak tuntut