Hadis palsu: Terpulang, saya tiada niat selewengkan rakyat Malaysia – Ustaz Don
Selepas terpalit dakwaan menyebarkan hadis tidak sahih dalam ceramahnya, Ustaz Don Daniyal tampil menjelaskan apa yang berlaku, mendakwa dia tidak pernah berniat menyelewengkan fakta kepada rakyat Malaysia.
Dalam satu temu bual di sebuah radio tempatan pada 1 Jun lalu, dia berkata terpulang kepada pandangan masing-masing namun dia yakin buku-buku yang dimilikinya diakui sahih oleh para ulama.
“Ada sesetengah orang kata hadis tak sahih, terpulanglah. Bacaan dan buku dia kata tak sahih. Kita, buku-buku kita ulama kita kata sahih.
“Tiada masalah. Benda itu pegangan masing-masing. Kita tidak boleh suruh orang (ikut) pegangan kita dan depa (mereka) pun tak boleh suruh kita ambil pegangan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Ustaz Don berkata, beliau sudah berkecimpung dalam arena dakwah di Malaysia selama 14 tahun dan menasihatkan mereka di luar sana agar tidak takut untuk mencari ‘guru’ yang boleh membimbing.
“14 tahun saya duduk dalam arena dakwah, In Shaa Allah saya tiada niat untuk menyeleweng rakyat Malaysia.
“Jadi jangan takut, sepertimana saya nak anak saya berjumpa dengan guru yang betul. Saya akan berusaha menjadi guru yang betul kepada anak-anak tuan-tuan,” jelasnya.
Terdahulu, Ustaz Don dilapor ‘direhatkan’ daripada program yang sinonim dengan musim ibadah haji, Salam Baitullah ekoran beberapa kontroversi penyebaran hadis tidak bersumber.
Semalam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah SAW berkaitan kisah Ummu Hani’ di mana penceritaan Ustaz Don dianggap lemah dan hadis digunakan adalah tidak bersumber.
BACA JUGA Bukan calang-calang, Malaysia satu-satunya negara ASEAN catat aliran masuk asing lebih RM1 bilion