MB Pahang terima rawatan di IJN mulai esok, Exco negeri pesan sesuatu kepada masyarakat
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan dirinya akan mula menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, bermula esok sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan doktor.
Beliau memaklumkan perkara tersebut menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.
”Di kesempatan ini saya mohon kemaafan andai ada sebarang kesilapan atau kekhilafan sama ada dalam pertuturan atau perbuatan saya selama ini.
”Saya juga mohon doa agar rawatan ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan Allah SWT,” tulis beliau.
Memetik laporan Harian Metro, Exco Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak meminta semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai tahap kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu.
Katanya, semua pihak khususnya rakyat negeri itu tanpa mengira lapisan rakyat, berbeza pandangan dan fahaman politik hanya perlu mendoakan yang terbaik buat Wan Rosdy.
“Semua orang tahu Datuk Seri Wan Rosdy tidak ada masa untuk berehat kerana jadual harian yang begitu padat setiap hari dan ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada kesihatan.
“Jadi, jangan spekulasi mengenai tahap kesihatan Datuk Seri (Wan Rosdy) kerana ada masanya kita sakit.
“Apa yang perlu dilakukan ialah marilah kita bersama-sama berdoa dan insya-Allah Datuk Seri (Wan Rosdy) dapat menjalani rawatan serta dikurnia dan diberikan kesembuhan segera,” katanya lagi.
BACA JUGA Heboh jemaah haji bersenam ikut rentak muzik di Makkah