Prestasi Negeri Sembilan, Selangor dipuji selepas MB Kedah jawab projek mega ada kekangan

Prestasi Negeri Sembilan dan Selangor dalam menarik pelaburan berimpak tinggi meraih pujian dan dianggap tidak banyak sembang berbanding Kedah yang diterajui Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Reaksi warganet itu susulan alasan dikemukakan Sanusi berkenaan beberapa projek mega yang diumumkan kerajaan Kedah sebelum ini.

Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri berkata, syarikat pelaburan swasta terbabit sebagai pelaksana berdepan kekangan dalam perniagaan.

Katanya, projek Widad Langkasuka dan litar lumba di Langkawi, pembinaan litar lumba antarabangsa dan stadium di Sungai Petani merupakan pelaburan syarikat swasta, bukannya kerajaan negeri seperti didakwa segelintir pihak.

Pemimpin Pas itu berkata, kesemua projek berkenaan bukan gagal dilaksanakan, sebaliknya kemajuan sedikit perlahan disebabkan komitmen syarikat terlibat yang perlu mengutamakan kos operasi syarikat masing-masing.

Berbeza dengan kerajaan Negeri Sembilan dan Selangor, masing-masing dilihat menunjukkan prestasi cemerlang tanpa banyak membuat pengumuman kosong.

Di Negeri Sembilan, Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) membuka pusat pembuatan berteknologi tinggi bernilai RM540 juta dengan matlamat utama untuk meningkatkan kemahiran, inovasi, dan kecekapan serta memacu kemampanan dalam industri tenusu Malaysia.

Fasiliti pembuatan halal itu dilengkapi dengan teknologi Industri 4.0 dan direka untuk memenuhi permintaan jangka panjang di Malaysia dan rantau ini.

Pelaburan besar DLMI di Bandar Enstek itu juga dijangka meningkatkan daya saing Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan baru serta dalam masa sama memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.

Sementara itu, di Selangor, syarikat gergasi teknologi Google membuat pelaburan besar di Elmina Business Park, Sungai Buloh sebanyak RM9.4 bilion (AS$2 bilion).

Pelaburan Google turut meningkatkan daya tarikan Selangor termasuk tawaran kerja bernilai tinggi yang dijangka menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor di negara ini.

Ia termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion).

Pencapaian Negeri Sembilan dan Selangor itu sekaligus membuktikan pelabur yakin dengan potensi pembangunan kedua-dua negeri tanpa perlu sembang kosong tetapi kemudiannya pelbagai alasan diberikan.

BACA JUGA MB Pahang terima rawatan di IJN mulai esok, Exco negeri pesan sesuatu kepada masyarakat