Sanusi dakwa projek mega di Kedah tak pernah gagal, cumanya…
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md nor menafikan dakwaan banyak projek mega yang diumumkan kerajaan Kedah gagal dilaksanakan.
Beliau berkata, projek-projek yang pernah diumumkan sebelum ini bukan dibatalkan, sebaliknya kemajuan sedikit perlahan disebabkan komitmen syarikat terlibat yang perlu mengutamakan kos operasi syarikat masing-masing.
Mengambil contoh projek Widad Langkasuka dan litar lumba di Langkawi, pembinaan litar lumba antarabangsa dan stadium di Sungai Petani merupakan pelaburan syarikat swasta, bukannya kerajaan negeri seperti didakwa segelintir pihak.
“Sektor swasta bergantung kepada perniagaan, ramai yang tak faham tentang ini, orang anggap apabila umum projek mesti jadi. Projek yang kita maklum sebelum ini, adalah perancangan swasta.
“Syarikat swasta berhasrat bangunkan projek tersebut, kita umumlah. Tidak merugikan duit kerajaan pun, saya jaga amanah kerajaan, bukan jaga syarikat swasta.
“Kalau pertimbangan syarikat itu ada kekangan, mereka tangguh atau pilih secara berfasa, itu hak mereka,” katanya dalam sidang media malam tadi selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman.
Penjelasan itu dibuat ekoran dakwaan banyak pihak bahawa kerajaan negeri gagal menyiapkan banyak projek mega, yang mana kata Sanusi ia adalah tidak tepat.
Ujarnya, kerajaan negeri sedang berhati-hati supaya tidak terbabit dengan projek-projek yang boleh menjadi ‘gajah putih’.
“Ada pihak tak pandai memandang perkara baik. Hanya mencari perkara buruk, apa yang mereka cari, yang itu mereka dapat.
“Kita sangat berhati-hati dengan duit pembayar cukai, apatah lagi orang dalam perniagaan, kalau rugi kena keluar modal sekali lagi. Ia tidak bagus untuk pertimbangan perniagaan.
“Ada pihak tak faham kata semua itu projek kerajaan negeri sedangkan ia dilaksanakan pihak swasta,” katanya.
BACA JUGA Hadis palsu: Terpulang, saya tiada niat selewengkan rakyat Malaysia – Ustaz Don