Cuba masuk Malaysia, kontena Israel diarah berpatah balik ke Thailand
Sebuah lori treler membawa kontena berasal dari Israel yang baharu tiba di Bukit Kayu Hitam, semalam berpatah balik ke Thailand.
Kenderaan dengan kontena berlogo syarikat ZIM Israel mengandungi dagangan peralatan komputer dikesan cuba memasuki Malaysia melalui Kedah di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Menurut MTT (Menanggung Tugas-Tugas) Pengarah Kastam Negeri Kedah, Suhaime Affindi Zainol Abidin, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri bagaimanapun telah menghalang lori bernombor pendaftaran asing dari Thailand yang cuba masuk melalui pintu masuk itu lebih kurang jam 12 tengah hari.
“Kenderaan terbabit ingin memasuki Malaysia dengan melakukan pengikraran Borang K1 bagi tujuan pengimportan dagangan ke dalam negara Malaysia.
“Hasil penelitian, anggota JKDM Kedah, kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel berdasarkan logo ‘ZIM’ yang tertera pada badan dinding luar kontena tersebut.
“Susulan itu, kenderaan terbabit telah ditahan untuk mendapat pengesahan dan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, lori dengan kontena berisi dagangan itu didapati telah meninggalkan Malaysia pada jam 1.30 tengah hari selepas diarah berpatah balik ke Thailand.
Pada 2 Jun lalu, sebuah lori kontena milik syarikat berpangkalan dari Israel membawa muatan dagangan ayam sejuk beku cuba memasuki Malaysia di pintu masuk ICQS Padang Besar, Perlis.
BACA JUGA Kes cukai bocor RM3.5 bilion: Pengarah syarikat, tiga penguat kuasa antara tujuh ditahan
Â