Pemandu e-hailing biadab hina Islam dan negara sedang diburu polis

Seorang pemandu e-hailing biadab yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan negara Malaysia kepada pelancong asing baru-baru ini sedang diburu polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima sebanyak tujuh laporan berkait kejadian setakat ini.

“Setakat hari ini, kita terima sebanyak tujuh laporan mengenai kes itu.

“Usaha untuk mengenalpasti dan mengesan pemandu masih dilakukan,” dipetik Kosmo!

Terdahulu, syarikat e-hailing digesa mengambil tindakan tegas termasuk memberhentikan pemandu yang mengeluarkan kenyataan menghina Islam kepada pelancong asing, yang videonya tular di media sosial.

Menerusi video dipercayai dirakam pelancong itu, pemandu terbabit didapati menghina Islam ketika berbual dengan pelancong asing yang menggunakan perkhidmatannya.

Dia juga memburukkan Malaysia kerana tidak berpuas hati kerana negara ini mengharamkan arak dan bermain judi.

BACA JUGA Gempar reman ibu bapa Zayn Rayyan sambung enam hari