Bas bawa rombongan guru kemalangan, Fadhlina rakam ucapan takziah

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merakamkan ucapan takziah kepada mangsa kemalangan bas membawa rombongan guru daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka dengan sebuah treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat, dekat simpang tiga ke Bahau di Rompin, tengah malam tadi.

Beliau menyifatkan khabar tersebut pastinya menjadi kisah duka buat seluruh rakyat di negara ini.

Katanya, di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihaknya akan berusaha sebaik mungkin membantu menyokong mereka yang terlibat dalam nahas berkenaan.

”Menerima perkhabaran mengejutkan awal pagi tadi. Kejadian berlaku di Lebuhraya Tun Abdul Razak berhampiran simpang tiga Keratong, Muadzam Shah semasa bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu dalam perjalanan ke Terengganu.

”Setakat maklumat yang diterima, dua orang termasuk seorang guru maut manakala 37 cedera dan kini mendapatkan rawatan di hospital.

”Beberapa orang guru yang terlibat dalam nahas ini juga dilaporkan menerima rawatan rapi akibat kecederaan parah,” katanya di Facebook, hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut mendoakan agar kesemua guru yang cedera akan segera sembuh dan kembali aktif seperti biasa untuk menjalankan amanah sebagai pendidik bangsa.

”Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga guru Allahyarhamah Puan Hasnatul Adila binti Hasan dan pemandu yang meninggal dunia serta mendoakan roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

”Innalillahi wainna ilayhi rajiun,” tulis beliau lagi.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi tadi, dua penumpang dilaporkan maut, manakala 37 lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah bas dengan sebuah treler di Jalan Bahau – Segamat.

Ketua Polis Rompin, Deputi Superitendan Nor Azman Yusof berkata, dua mangsa yang meninggal dunia membabitkan pemandu kedua bas berkenaan dan seorang guru wanita, manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaaan.

BACA JUGA Padah terima rasuah RM100,000 lindung rumah urut, Timbalan Pengarah PBT direman

Â