‘Dari Kapit, saya bergegas pulang ke Kuala Lumpur untuk lihat sendiri keadaan ditularkan’

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini turun padang melihat sendiri struktur Lebuhraya Setiawangsa Pantai (SPE), Kuala Lumpur yang didakwa retak oleh pengguna media sosial sejak Jumaat lalu.

”Kekecohan isu ‘keretakan’ yang didakwa berlaku di tiang jejambat SPE di Jalan Cheras, memang meresahkan pengguna jalan raya.

”Dari Kapit, saya bergegas pulang ke Kuala Lumpur bagi melihat sendiri keadaan yang telah ditularkan.

”Bersama pasukan Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi lebuhraya SPE, saya telah naik sendiri ke kren setinggi 16.1 meter bagi melihat dengan lebih dekat dan menyentuh kesan yang dikatakan retakan di tiang jejambat yang terlibat.

”Pihak konsesi dan jurutera profesional yang turut bersama telah mengesahkan tiada keretakan di tiang,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Menurut Alexander, walaupun berpuas hati dengan dapatan berkenaaan, namun beliau tetap mengarahkan agar crack monitoring meter dipasang di tiang terlibat bertujuan mengesan sebarang pergerakan atau keretakan.

Jelas beliau, alat tersebut akan dipasang selama sebulan bagi memantau keadaan tiang jejambat dan laporan akan disediakan oleh LLM.

”Saya memberi jaminan kepada semua penguna jalan raya bahawa laluan ini selamat digunakan.

”Terima kasih juga kepada orang awam yang telah menyalurkan aduan.

”Selari semangat MYJalan yang didukung KKR, saya berharap masyarakat akan terus berganding bahu bersama kami dalam menjadi mata dan telinga bagi mengetengahkan apa saja isu kerosakan infrastruktur rakyat,” katanya lagi.

Dalam catatan sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit turut menegaskan bahawa tiada kompromi apabila melibatkan nyawa rakyat.

Untuk rekod, SPE dibuka sepenuhnya 3 November lalu mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.

Lebuh raya itu dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi-Salak (Seksyen 1), Salak-Pandan (Seksyen 2), Pandan-Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa-Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan 20.7 kilometer.

Ia menghubungkan beberapa lebuh raya lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.

BACA JUGA Ini baru satu Malaysia, pemandu lori Melayu fasih berbahasa Tamil curi tumpuan