Kemalangan bas rombongan guru, polis maklum perkembangan terkini mangsa

Seramai 12 mangsa yang terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dan sebuah treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Simpang Tiga Bahau, masih menerima rawatan di hospital.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof.

Menjelaskan lebih terperinci, beliau berkata daripada jumlah tersebut, lapan orang adalah guru, dua kerani, dan masing-masing satu suri rumah dan pelajar.

“Seramai lima orang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Segamat (2) , Hospital Muadzam Shah (1), Hospital Melaka (1) dan tiga di hospital swasta.

“Kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil,” katanya lapor Kosmo, hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku semalam itu, empat orang dilaporkan maut selepas sebuah bas yang membawa 39 orang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Simpang Tiga Bahau.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu merupakan seorang guru, Hasnatul Adilah Hassan, 48, yang meninggal dunia di lokasi kejadian dan pemandu kedua bas, Hadi Asyraf Mad Idris, 29, yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Dua lagi mangsa meninggal dunia ketika dirawat di HTAA Kuantan iaitu seorang pembantu guru, Hamzah Ahmad,60 dan Dahlia Ahmad, 52, yang merupakan seorang guru.

Kejadian tersebut turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerusi satu catatan yang ditulis di Facebooknya.

Beliau berkata, di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihaknya akan berusaha sebaik mungkin membantu menyokong mereka yang terlibat dalam nahas berkenaan.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut mendoakan agar kesemua guru yang cedera akan segera sembuh dan kembali aktif seperti biasa untuk menjalankan amanah sebagai pendidik bangsa.

BACA JUGA Pengerusi Muda Wilayah umum keluar parti