Pengerusi Muda Wilayah umum keluar parti
Pengerusi Muda Wilayah, Taufiq Zarak mengumumkan meletak jawatan termasuk berhenti sebagai ahli parti itu.
Dalam satu kenyataan di laman X, Taufiq berkata, tempoh jawatan sebagai pengerusi akan berakhir pada hujung Jun ini.
Tidak dinyatakan sebab keputusannya meninggalkan parti.
Bagaimanapun dia memaklumkan Muda kini sedang memberi tumpuan kepada pengukuhan dalaman menjelang pemilihan parti dan setelah berfikir panjang, dia membuat keputusan untuk tidak bertanding dan akan meninggalkan parti.
“Saya ingin terus berkhidmat kepada parti sehingga tamat mandat saya.
“Namun, setelah beberapa perbincangan bersama presiden, setiausaha agung, biro politik, serta di atas sebab tertentu mereka berpendapat bahawa tempoh saya berkhidmat sehingga akhir penggal adalah terlalu lama dan mencadangkan selama sebulan.
“Saya bersetuju. Dengan berat hati, tempoh jawatan saya sebagai Pengerusi Muda Wilayah akan berakhir Jun ini,” katanya.
Awal tahun ini, hampir 10 ahli Muda Wilayah Persekutuan meletakkan jawatan dalam masa sebulan atas sebab peribadi dan didakwa tidak berpuas hati dengan hala tuju parti beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 18 Feb, Setiausaha Agung parti itu Amir Hariri Abd Hadi dilaporkan berkata, dia tidak tahu menahu tentang tindakan ramai ahli yang meletak jawatan dan meninggalkan parti berkenaan.
BACA JUGA Rasmi mesin ATM pun sampai sewa khemah, Pas Kelantan dikecam suka membazir