Lelaki jerit dekat menteri kenapa minyak tak turun, relaks je Rafizi balas balik
Satu klip video tersebar di media sosial selepas seorang lelaki berteriak mempersoalkan mengapa harga minyak tidak turun ketika Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sedang menyampaikan ucapan.
Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan untuk Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap malam tadi seterusnya bertukar sedikit gamat, namun Naib Presiden PKR itu langsung tidak melatah.
Lelaki yang berada dalam kalangan penyokong itu kemudiannya dijemput oleh Rafizi untuk naik ke pentas bagi memudahkan beliau memberikan penjelasan secara terus, sambil disahut hadirin.
Walaupun lelaki itu enggan, Rafizi tetap memberi penjelasan buat hadirin yang datang.
Soalan itu dibangkitkan dipercayai susulan pengumuman penetapan harga runcit diesel pada RM3.35 seliter bermula tengah malam tadi di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.
Rafizi berkata, kerajaan tidak pernah membatalkan subsidi bahan api termasuk diesel yang mencecah RM60 bilion setahun, sebaliknya mengalihkannya dengan memberikannya terus kepada rakyat.
Beliau berkata, sebelum ini subsidi terbabit dibayar kepada beberapa syarikat minyak saban tahun, berbeza dengan tindakan kerajaan ketika ini yang terus mengagihkannya termasuk kepada keluarga yang menikmati pembiayaan serendah RM200 hingga RM500 sebulan.
“Zaman minyak dulu yang harga RM1.90 tahu tak berapa harga minyak mentah masa itu? Tahu tak berapa subsidi yang kerajaan kena belanjakan? Sikit saja (ditanggung kerajaan kerana) masa itu subsidi kena belanja RM3 bilion daripada bajet RM200 bilion lebih.
“Sekarang ini subsidi RM60 bilion dengan harga minyak mentah AS$80 (setong)… saya sebut dulu (turunkan harga minyak) kalau harga minyak mentah rendah dan subsidi itu masih lagi boleh ditangguh kenapa nak hapuskan subsidi.
“(Sekarang) bila subsidi sudah jadi RM80 bilion nak buat sekolah tak boleh, nak naik gaji tak boleh dan subsidi menyebabkan harga (minyak) yang rendah itu yang dapatnya orang kaya-kaya, bukankah lebih baik kita alihkan subsidi itu, bukanlah kita batalkan.
“(Kita) alih subsidi maksudnya subsidi terus diberi. Diesel kenderaan awam, lori kecil, pikap, peniaga semua dapat, malah orang biasa gaji RM100,000 ke bawah setahun pun dapat atau kita agihkan kepada keluarga biar dapat subsidi minyak tiap-tiap bulan RM200, RM300, RM400 (atau) RM500,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi turut menyuarakan keyakinan bahawa rakyat akan dapat melihat dengan lebih baik bagaimana peruntukan subsidi itu disalurkan kepada isi rumah berbanding terus dibayar kepada syarikat minyak.
BACA JUGA Syarikat pelaburan taja pasukan Terengganu FCÂ berada dalam senarai amaran BNM?
Â