Syarikat pelaburan taja pasukan Terengganu FC berada dalam senarai amaran BNM?

Sejak semalam kecoh apabila sebuah syarikat skim pelaburan yang mendakwa ianya patuh syariah diumumkan sebagai penaja utama pasukan bola sepak Terengganu iaitu Terengganu FC.

XFOX Market Holdings Sdn Bhd bersetuju untuk menaja TFC secara tunai sebanyak RM1.5 juta sepanjang kejohanan Asean Championship Club Shopee Cup 2024/2025.

Pihak TFC juga bersetuju meletakkan logo syarikat XFOX  pada jersi rasmi Terengganu FC.

Pengumuman itu tidak disambut baik dalam kalangan peminat bola sepak kerana syarikat pelaburan itu didakwa mempunyai rekod mencurigakan dan tidak boleh dipercayai.

Hasil semakan di laman sesawang Bank Negara Malaysia (BNM), dua syarikat berkait dengan XFOX tersenarai dalam amaran BNM kerana tidak diluluskan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh bank pusat itu.

Dua syarikat tersebut adalah XFOX Market Trust dan XFOX Market Sdn Bhd. Kedua-duanya tersenarai dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan sejak 14 Jun 2023.

Ia masih lagi tersenarai sehingga kini.

Lantaran itu ramai yang mempertikai keputusan TFC mengambil penaja yang berisiko.

Menurut maklumat, XFOX menawarkan hibah bulanan 5% hingga 30% mengalahkan ASB dan Tabung Haji.

XFOX juga menawarkan hibah harian yang mana jika seseorang individu mendaftar hari ini, esok sudah mendapat hibah harian

Sebagai syarikat pelaburan yang mendakwa perjalanan syarikat patuh syariah, laman sesawang syarikat itu bagaimanapun tidak mendedahkan siapakah penasihat syariah mereka.

Seorang penasihat syariah, Dr. Abdul Rahman A Shukor berkata, sukar untuk mengesahkan sesebuah syarikat itu patuh syariah jika tiada penasihat dalam bidang itu.

“XFOX mendakwa menggunakan konsep Mudharabah. Mereka memaparkan video kuliah Prof Dr. Ustaz Abdus Somad tentang Mudharabah.

“Memang konsep Mudharabah wujud dalam syariah tetapi adakah XFOX melaksanakan mudharabah dengan betul? Siapa yang memastikannya? 

“Siapakah Penasihat Syariah XFOX? Malangnya perkara ini tidak dinyatakan di website mereka.  

“Jika tiada penasihat syariah nescaya mana-mana syarikat boleh mendakwa mereka patuh syariah,” ulasnya di Facebook.

Daripada aspek komersial, XFOX memberi hibah bulanan 5% hingga 30% di mana menurut Abdul Rahman, ia adalah luar biasa kerana PNB pun tidak dapat memberi keuntungan sebesar itu. 

Beliau mendedahkan bahawa XFOX diterajui oleh dua adik beradik iaitu Datuk Suraya Semaru dan Datuk Suhaila Semaru. 

Bagaimanapun tiada sebarang info tentang anugerah Datuk berkenaan di laman rasmi Istiadat.

“XFOX membuka dana pelaburan dan menerima dana daripada orang ramai. 

“Perkara ini dinamakan pengambilan deposit secara haram (illegal deposit taking) kerana XFOX tidak mempunyai lesen di bawah BNM atau SC.

“Pengambilan deposit secara haram adalah satu kesalahan dari segi undang-undang di Malaysia,” ujarnya.

BACA JUGA ‘Saya bukan janji kewarganegaraan…’ – Akhirnya ADUN Stulang buka mulut