Potensi negara melonjak, 12 saham syarikat Malaysia paling baik di Asia Tenggara
Malaysia kembali berada di landasan baik di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Ini kerana katanya, sebanyak 12 syarikat Malaysia telah disenaraikan dalam 15 saham syarikat yang mencatatkan prestasi paling baik di Asia Tenggara untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Beliau berkata, pemantau ekonomi telah menyenaraikan 15 saham syarikat yang mencatatkan keuntungan paling mendadak di Asia Tenggara.
”12 daripadanya merupakan syarikat Malaysia, ini sekali gus menunjukkan negara kembali berada di landasan baik di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.
“Kestabilan politik sudah ada, mata wang Malaysia juga antara paling baik pada tahun ini dari segi pengukuhan dan dengan unjuran ini, negara kita dijangka akan terus menjadi negara yang berpotensi di Asia Tenggara.
“Kita mula melihat tanda-tanda ekonomi yang semakin baik. Jika ini berterusan, unjuran menjelang 2027, 2028, Malaysia boleh diiktiraf dan diumumkan sebagai sebuah negara maju yang baharu,” katanya memetik Malaysiakini.
Dalam perkembangan berkaitan harga minyak dan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, beliau menjelaskan bahawa dahulu harga minyak sebanyak RM1.90 dan subsidi kerajaan berjumlah RM3 bilion daripada bajet bernilai lebih RM200 bilion.
“(Tetapi) sekarang, subsidi berjumlah RM60 bilion, harga minyak mentah US$80. Saya sebut dahulu, kalau harga minyak mentah rendah dan subsidi masih boleh ditanggung, kenapa hendak hapuskan subsidi.
“Sekarang, apabila subsidi telah mencecah RM60 bilion, nak buat sekolah tak boleh, naik gaji tak boleh dan subsidi yang harga rendah itu yang dapatnya orang kaya, bukankah lebih baik (jika) kita alihkan subsidi itu.
“Maksudnya, subsidi itu terus diberi kepada kenderaan awam, lori kecil, peniaga, malah orang biasa asalkan ada kenderaan diesel dan mereka yang berpendapatan bawah RM100,000 setahun pun dapat RM200 sebulan,” ujar beliau yang juga Timbalan Presiden PKR.
Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam tadi.
Di bawah Budi Madani, bantuan tunai RM200 sebulan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
BACA JUGA Lelaki jerit dekat menteri kenapa minyak tak turun, relaks je Rafizi balas balik