‘Saya bukan janji kewarganegaraan…’ – Akhirnya ADUN Stulang buka mulut
ADUN Stulang, Chen Kah Eng menafikan dakwaan program taklimat kewarganegaraan anjuran pusat khidmatnya adalah untuk membantu warga asing memohon kewarganegaraan.
Kah Eng menegaskan beliau tidak pernah bermaksud untuk menjanjikan status kewarganegaraan kepada sesiapa, memandangkan terdapat garis panduan JPN yang perlu dipatuhi.
Beliau sebaliknya menjelaskan bahawa program tersebut adalah untuk memberi penerangan, kesedaran dan pemahaman kepada warganegara Malaysia yang ahli keluarganya menghadapi masalah ketiadanegaraan (statelessness).
Hantaran di media sosial miliknya pada 31 Mei juga dengan jelas menunjukkan tujuan program tersebut.
“Hanya apabila poster info grafik dan kapsyen yang dimuat naik sebelum ini dibaca berasingan oleh sesetengah pihak, ianya menimbulkan kekeliruan dari tujuan asal program taklimat kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Kah Eng, program taklimat itu telah dirancang bagi memberi pemahaman yang lebih jelas kepada golongan ini dalam berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan, terutamanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, dan lain-lain.
Menurutnya, warganegara Malaysia daripada kategori B40 dan berkahwin dengan warganegara asing paling ramai terkesan dengan masalah untuk mendapatkan IC biru untuk anak-anak mereka.
Justeru katanya sebagai ADUN di Stulang, pusat khidmat beliau sering didatangi penduduk yang menghadapi masalah isu kewarganegaraan atas pelbagai faktor seperti keruntuhan rumah tangga yang menyebabkan dokumentasi anak ini terabai sehingga menjejaskan masa depan mereka.
“Terdapat juga kes-kes di mana permohonan telah lama diajukan kepada jabatan kerajaan tetapi atas sebab-sebab tertentu (tidak layak, dokumen tidak mencukupi), ianya tidak dapat diproses.
“Bagi kes seperti ini, pihak kami akan membantu dalam membuat semakan atau rayuan dari jabatan berkaitan.
“Saya berharap pencerahan ini dapat meredakan kekeliruan yang telah timbul dari tajuk poster kami sebelum ini dan spekulasi mengenai isu ini tidak diperbesarkan lagi merujuk kepada kenyataan disosial media saya pada 8 Jun lalu,” ujarnya.
BACA JUGA ‘Wahai walaun, bukan semua permohonan ini adalah Cina. Otak rasis’
Â