Yang naik motor kapcai kenapa bising? Baca dulu 7 fakta subsidi diesel ini
OLEH NORMAN RADZUAN
Yang naik motor kapcai kenapa bising? Kenapa keputusan mengejut kenaikan harga diesel? Semua PM setuju subsidi bersasar..
Sudah terlalu banyak penerangan saya tulis bersama rakan-rakan media sebelum ini mengenai subsidi bersasar. Namun tetap ada yang bertanya.
Kawan-kawan saya pun semalam teks bertanya pelbagai soalan kenapa tiba-tiba sahaja diumumkan, kenapa naik terus mendadak?
Hari ini saya nak jelaskan dalam bentuk fakta ringkas sahaja. Supaya mudah untuk anda bantu kerajaan jelaskan kepada tuan punya motor kapcai atau pengguna petrol yang turut sama ‘bising’.
Pertama beritahu mereka tiada kena mengena mereka nak bising sebab ia hanya libatkan diesel bukan petrol.
1) Jadi siapa yang terkesan dari kenaikan harga diesel?
Hanya 3 golongan yang terkesan bila ditarik subsidi. Yang tiada seperti senarai di bawah tidak perlu marah atau panik.
1. T20
2. Warga Asing
3. Penyeludup Diesel/Petrol
2) Soalan kenapa diumum secara mengejut?
– Sebab utama diumum seperti ini untuk menghalang penyeludup yang akan stock-up diesel. Menurut maklumat sehari negara hilang RM1.25 juta disebabkan penyeludupan diesel.
– Kalau kita umum seminggu awal, mungkin hilang RM8-10 juta. Fahamkan.
Ia umpama jika mahu buat operasi basmi pendatang haram. Kalau kita maklumkan awal, memang pendatang ini akan hilang entah ke mana. Jadi ini strategi kerajaan untuk elak kerugian.
3) Soalan apa rasionalisasi pengapungan harga Diesel?
1. Harga diesel tidak naik. Sebaliknya harga RM3.35 per liter adalah harga sebenar tanpa subsidi.
2. Pengusaha logistik akan terus menikmati harga diesel RM 2.15 sen per liter dengan kaedah penggunaan fleet card melalui sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS) 2.0.
3. Pengusaha kenderaan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, bomba dan ambulan terus kekal menikmati harga diesel RM 1.88 per liter melalui sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS) 1.0
4. Golongan nelayan masih terus menikmati harga diesel RM 1.65 per liter
5. Golongan persendirian dan agri akan membayar diesel RM 3.35 per liter dan akan diberi tunai RM200 melalui program BUDI MADANI.
4) Mengapa tindakan ini dibuat?
1. Menyasarkan subsidi kepada yang sepatutnya.
2. Menoktahkan ketirisan diesel yang merugikan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia.
5) Tahukah anda sejak zaman Najib Razak, Muhyiddin, Tun Mahathir dan Ismail Sabri mereka semua bersetuju perlu dilakukan subsidi bersasar.
Semasa membentangkan Belanjawan 2017, Najib berkata, dasar subsidi bersasar perlu menggantikan subsidi pukal.
Era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, mekanisme subsidi bersasar juga ditekankan.
Seterusnya, Muhyiddin pula sependapat bahawa hanya golongan sasar iaitu mereka dalam kumpulan B40 dan B60 sahaja berhak menerima subsidi.
Muhyiddin juga tahu pada masa ini semua pihak tanpa mengira status kaya atau miskin, warga asing atau tempatan menikmati subsidi yang sama.
Melangkah ke era pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan ketika itu sedang mencari mekanisme terbaik untuk merangka subsidi bersasar.
Jadi kesemua XPM termasuk PMX berbicara kaedah yang sama untuk menyelamatkan negara.
Percayalah tidak akan ada mana-mana Perdana Menteri akan berbalik kepada pukal jika menjadi kerajaan selepas ini.
Ingat, Pas pun bersetuju dan mengalu alukan langkah yang baik yang digariskan kerajaan. Oleh itu marilah kita menyokong langkah yang baik ini.
6) Landskap Subsidi Diesel di Malaysia
Pada ketika ini dengan jumlah subsidi diesel yang besar diberi oleh kerajaan, harga runcit diesel di Malaysia menjadi antara yang terendah di dunia.
Harga diesel kita dijual pada empat harga yang berbeza mengikut subsidi iaitu
• yang termurah, RM1.65 bagi nelayan
• RM1.88 bagi pengangkutan awam darat
• RM2.15 bagi kenderaan komersial dan persendirian, serta
• harga pasaran tanpa subsidi bagi sektor komersial yang
pernah mencecah RM3.60 awal tahun ini.
– Pada masa yang sama harga di negara jiran lebih tinggi, lebih kurang RM4 di Thailand, RM4.50 di Indonesia dan hampir mencecah RM9 di Singapura.
– Keadaan ini mengundang penyeludupan ke negara jiran dan penyelewengan ke sektor komersil yang tidak layak menggunakan diesel bersubsidi.
– Jumlah diesel bersubsidi meningkat mendadak dari 6.1 bilion liter tahun 2019 kepada 10.8 bilion liter tahun 2023 walaupun bilangan kenderaan diesel tidak bertambah dengan ketara.
Ini menunjukkansubsidi yang diberi tiris, dan tidak dapat dimanfaat oleh golongan sasaran.
– Inilah yang biasa kita dengar dalam Ops Tiris sehinggalah baru-baru ini, banyak rampasan barang penyeludupan atau tangkapan kenderaan yang diubahsuai, yang dibuat hasil operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
– Akibatnya, kerajaan kerugian berbilion ringgit sehingga mengecilkan keupayaan kita untuk membela kepentingan rakyat.
– Subsidi diesel meningkat 10 kali ganda dari RM1.4 bilion tahun 2019 kepada lebih RM14.3 bilion tahun 2023.
– Bukan sahaja negara dan kerajaan, malah rakyat juga menanggung kesan daripada aktiviti-aktiviti “mengkhianat” hasil negara ini.
– Justeru, melalui penyasaran subsidi, kegiatan penyeludupan dan penyelewengan tidak lagi menjadi suatu aktiviti yang lumayan dan secara logiknya dapat dikurangkan secara drastik.
7) Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan dalam proses untuk melaksanakan pemberian subsidi minyak secara bersasar, namun memberi jaminan langkah itu nanti tidak akan sesekali menghukum golongan miskin.
Ingat subsidi bersasar ini konsepnya ambil subsidi minyak kita masukkan ke dalam poket rakyat yang benar-benar memerlukan. Dari tangki minyak ke poket rakyat.
Perjuangan Anwar untuk rakyat marhaen tidak pernah dilupakan. Hanya PM yang berani sahaja mampu lakukan ini.
Anwar tidak mahu lagi “yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana.”
Pesanan saya beri peluang kepada kerajaan laksanakan pendekatan ini.
Dalam masa yang sama jangan sesekali termakan hasutan dari hasutan golongan tauke-tauke korporat, T20 dan pemimpin pembangkang.
Mereka wajar marah kerana terkesan denfan pengurangan subsidi. Pemimpin pembangkang pula terkesan jika formula ini berjaya rakyat akan dapat melihat apa yang dilakukan kerajaan ini baik dan akan melupakan mereka.
Sila kongsi kepada rakan-rakan sebagai azimat berhadapan dengan walaun.
BACA JUGA ‘Saya bukan janji kewarganegaraan…’ – Akhirnya ADUN Stulang buka mulut