Bas sekolah masih dapat subsidi, menteri tegaskan kenaikan tidak patut berlaku

Semua pengusaha bas sekolah, bas ekspres dan bas persiaran masih lagi menikmati subsidi bahan api diesel, sekaligus tidak sepatutnya untuk pihak-pihak ini menaikkan kadar tambang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengusaha bas telah diberikan kad fleet dan harga Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 menetapkan harga kekal pada RM1.88 seliter.

Justeru beliau mempersoalkan apa yang mendorong kumpulan ini untuk tetap menaikkan harga.

“Kenaikan kadar tambang tak sepatutnya berlaku, subsidi diesel ini terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan bas sekolah. Mereka tidak terkesan susulan daripada kenaikan harga diesel.

“Ini kerana, mereka sudah menerima subsidi dan tidak ada perubahan dari segi itu kerana mereka diberikan kad fleet dan harga Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 iaitu pengusaha bas ekspres dan sekolah kekal pada harga RM1.88 seliter.

“Jadi apa yang mendorong mereka nak naikkan harga? Jika soal ini digunakan sebagai alasan untuk menaikkan harga tambang bas sekolah atau bas ekspres, itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Hasil tinjauan Harapan Daily di media sosial, subsidi bahan api diesel menjadi topik perbincangan hangat, dengan ada ibu bapa mendakwa pengusaha bas sekolah sudah pun meminta tambahan bayaran untuk pengangkutan itu.

Ramai masih berada dalam keadaan keliru berkenaan jenis-jenis kenderaan yang boleh menggunakan subsidi diesel.

Sementara itu Anthony berkata, bagi bas ekspres, kadar tambang tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana ia adalah di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Bagi bas sekolah pula, kita tidak kawal harganya, cuma kita galakkan perbincangan antara pengusaha bas sekolah dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Sementara itu, bagi bas persiaran, ia adalah untuk kegunaan untuk pelancongan iaitu bagi pelancong asing, bukan untuk kegunaan harian, jadi tidak ada subsidi untuk sektor pelancongan.

“Kos pelancongan di negara kita memang cukup kompetitif, mungkin ada sedikit kenaikan kos untuk pelancong asing namun saya rasa ia boleh diterima untuk pelancong asing,” katanya.

BACA JUGA Fadhlina menang 16,000 undi lah bodoh – Rafizi pula sekolahkan Sanusi