Hati-hati KPDN akan siasat semua aduan kenaikan harga di media sosial

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup  (KPDN) mengambil perhatian serius terhadap beberapa kenyataan pihak industri yang akan menaikkan harga perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula semalam

Susulan itu kata Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, kementerian itu akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aduan melalui platform yang disediakan berpandukan kepada Peraturan-peraturan Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011.

KPDN ketika ini sedang menjalankan Ops Kesan 2.0 yang telah bermula sejak 8 Jun 2024.

Pada masa yang sama kata Armizan, KPDN akan membuat siasatan segera semua kenyataan-kenyataan yang viral di media sosial.

“Siasatan akan dilakukan meliputi dua aspek. Bagi sektor yang tidak termasuk dalam 33 jenis pengangkutan awam dan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) seperti perkhidmatan tunda kenderaan dan penghantaraan barangan binaan, KPDN akan mengeluarkan notis kepada pihak-pihak terbabit. 

“Serahan notis akan dilaksana di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan (AKHAP) 2011 untuk memastikan tidak berlakunya pelarasan harga yang mempunyai elemen pencatutan,” katanya.

Terdahulu tersebar di media sosial beberapa notis dipercayai dari beberapa syarikat perkhidmatan tunda kenderaan yang memaklumkan terpaksa menaikkan harga perkhidmatan susulan penyasaran semula subsidi diesel.

Sementara itu Armizan berkata, bagi sektor industri seperti pembinaan yang sememangnya sejak dari dahulu tidak layak menggunakan diesel subsidi sebelum penyasaran subsidi dilaksanakanpada 10 Jun 2024, KPDN akan melaksanakan siasatan alasan mereka perlu menaikkan harga perkhidmatan sekarang. 

“Ini termasuk siasatan kemungkinan mereka mendapatkan sumber diesel bersubsidi secara tidak sah sebelum ini,” tegasnya.

BACA JUGA Kalau terlalu fikir pilihan raya, sampai bila-bila kita tak berani buat – Hasbie