Ini reaksi MB Pahang selepas Anwar datang ziarah di IJN

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudi meluangkan masa melawat beliau tengah hari semalam.

Wan Rosdy mula menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) bermula 7 Jun lalu.

“Terima kasih kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang sudi meluangkan masa melawat saya di IJN.

“Alhamdulillah, keadaan saya beransur baik dan perlukan masa untuk pulih selepas menjalani pembedahan baru-baru ini,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Dalam catatan sama, Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa buat masa ini keadaan beliau masih lagi dipantau oleh doktor dan memerlukan banyak masa untuk berehat.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan saya sebelum.

“Semoga Allah SWT memberi rahmat dan kesejahteraan kepada kita semua,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai.

Sebelum ini, Exco Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dilapor meminta semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai tahap kesihatan Wan Rosdy.

Katanya, semua pihak khususnya rakyat negeri itu tanpa mengira lapisan rakyat, berbeza pandangan dan fahaman politik hanya perlu mendoakan yang terbaik buat Wan Rosdy.

“Semua orang tahu Datuk Seri Wan Rosdy tidak ada masa untuk berehat kerana jadual harian yang begitu padat setiap hari dan ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada kesihatan.

“Jadi, jangan spekulasi mengenai tahap kesihatan Datuk Seri (Wan Rosdy) kerana ada masanya kita sakit.

“Apa yang perlu dilakukan ialah marilah kita bersama-sama berdoa dan insya-Allah Datuk Seri (Wan Rosdy) dapat menjalani rawatan serta dikurnia dan diberikan kesembuhan segera,” katanya lagi.

BACA JUGA Penyasaran subsidi diesel: Jangan menangguk di air keruh