Penyasaran subsidi diesel: Jangan menangguk di air keruh

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan bahawa mana-mana pihak tidak sepatutnya ‘menangguk di air keruh’ dengan menaikkan harga barang bagi meraih keuntungan keterlaluan susulan langkah penyasaran subsidi diesel di Semenanjung.

Jelasnya, penyasaran subsidi diesel juga sepatutnya tidak memberi kesan berantai sehingga menyebabkan kenaikan harga barang keperluan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, ini kerana kerajaan telah membantu peniaga dan pihak terbabit dengan pelbagai inisiatif terutama melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) dan inisiatif BUDI MADANI yang antara lain menampung kos pengangkutan barangan terlibat.

Menurutnya, menerusi SKDS 2.0, sebanyak 23 kategori kenderaan layak menerima bantuan fleet card termasuk pengangkutan barangan makanan, keperluan asas dan harian membolehkan mereka membeli diesel pada harga subsidi RM2.15 seliter selain pemberian RM200 sebulan kepada yang layak menerusi BUDI MADANI.

“Isu ini tidak tinggalkan kesan kepada Sabah, Sarawak dan Labuan… saya lihat ia lebih kepada apakah mungkin ada kesan negatif tidak dijangka Kerajaan Persekutuan tetapi seperti kita jelaskan, kita telah ambil kira dan menilai perkara ini.

“Kita berusaha memastikan semua kenderaan terlibat dalam rantaian bekalan barangan termasuk hantar barangan ke Sabah, Sarawak dan Labuan terus mendapat subsidi manakala individu juga diberikan peluang dapatkan bantuan RM200 sebulan (menerusi BUDI MADANI),” katanya, dipetik BH.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sembang Santai Komuniti MADANI Parlimen Putatan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan dan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor.

Fahmi berkata beberapa pihak telah memuat naik hantaran di laman sosial mendakwa peniaga terkesan dari segi kos pengangkutan dengan langkah penyasaran subsidi diesel.

Sehubungan itu, beliau menasihati golongan terbabit supaya mendapatkan maklumat berkaitan serta memohon SKDS 2.0 dan BUDI MADANI.

Padahal, jelasnya, subsidi diesel masih mereka nikmati menerusi SKDS 2.0 kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

“Kita pohon sekiranya ada kelihatan peningkatan mendadak, mana-mana pihak mengambil kesempatan naikkan harga barang walaupun Sabah, Sarawak dan Labuan tidak berkesan, maklumkan kepada KPDN bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan segera,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Rakyat bakal dapat manfaat, anggaran RM8 bilion hasil subsidi diesel bersasar