Rakyat bakal dapat manfaat, anggaran RM8 bilion hasil subsidi diesel bersasar
Hasil penjimatan subsidi diesel diyakini akan boleh dirasai rakyat dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi, kata ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai.
“Penyasaran subsidi ini sudah dirancang sejak Bajet 2024 namun kerajaan perlu berhati-hati dan mungkin mendulukan diesel kerana ia lebih mudah untuk diurus.
“Sebelum ini, penjimatan dianggarkan kerajaan adalah sebanyak RM4 bilion namun saya yakin kutipan sehingga RM8 boleh dibuat jika isu membabitkan aktiviti penyelewengan, penyeludupan, penjualan secara haram dapat diselesaikan melalui penyasaran subsidi ini.
“Jika jumlah itu boleh diperoleh, mungkin bantuan BUDI MADANI ditingkatkan selain akses pendidikan dan kesihatan ditambahbaik.
“Saya yakin dalam tempoh setahun akan nampak hasilnya,” katanya, dipetik BH.
Menurutnya, jika berlaku sebarang tekanan akibat penjualan harga sebenar diesel tanpa subsidi itu, ia boleh ditampung melalui pemberian BUDI MADANI berjumlah RM200.
Jelasnya, bantuan RM200 itu boleh menampung bayaran diesel bagi perjalanan kira-kira 70 kilometer (km) dengan kadar lima liter sehari.
“Kita percaya kalau hasil penjimatan ini berjaya dipungut kerajaan, mungkin bantuan BUDI MADANI boleh ditingkatkan pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Dr Barjoyai berpendapat penjualan harga sebenar diesel tanpa subsidi pada kadar RM3.35 seliter adalah memadai dan masih murah berbanding beberapa negara Asia Tenggara lain termasuk Thailand, Indonesia dan Singapura.
Sejak semalam, harga diesel tanpa subsidi dijual pada kadar RM3.35 seliter oleh semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata, penjimatan daripada penyasaran subsidi diesel dianggarkan mencecah RM4 bilion.
Katanya, hasil itu dijangka memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan kepada rakyat.
BACA JUGA Potensi negara melonjak, 12 saham syarikat Malaysia paling baik di Asia Tenggara
Â