Bekalan elektrik Kampung Sungai Baru disambung semula selepas dibantah penduduk
Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyambung semula bekalan elektrik di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur malam tadi selepas satu bantahan dibuat oleh penduduk semalam.
Bantahan 37 keluarga di kawasan itu turut disertai Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang menyelar tindakan memihak kepada pemaju sehingga sanggup memotong bekalan elektrik dan air di kampung berkenaan.
Bagaimanapun selepas bekalan elektrik dan air dipulihkan, Khalid menyifatkan ia memberi sedikit kelegaan kepada penduduk di situ memandangkan Hari Raya Aidiladha akan tiba tidak lama lagi.
“Majoriti penduduk (Kampung Sungai Baru) adalah kalangan mereka beragama Islam. Amat sedih jika nasib mereka tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat melaporkan kes Kampung Sungai Baru.
“Ia termasuk pihak wartawan dan TNB khususnya atas penyambungan semula bekalan elektrik yang dilakukan pada malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khalid yang juga mantan menteri Wilayah Persekutuan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengamal media atas liputan yang telah diberikan untuk sama-sama membantu nasib penduduk di sana yang mememerlukan pembelaan.
”Terima kasih juga kepada pihak TNB yang telah melakukan kerja penyambungan elektrik pada malam tadi,” ujar beliau lagi.
Semalam, media melaporkan Khalid menyelar tindakan pihak berkuasa yang didakwa memotong bekalan elektrik dan air di kampung berkenaan sehingga menjejaskan kira-kira 37 keluarga yang masih tinggal di situ.
Menurut beliau, kerajaan sepatutnya mendengar serta melayan permintaan penduduk dan tidak berpihak kepada pemaju.
“Bagaimana mereka (boleh) dilayan begini? Potong api, potong air dan diusir keluar.
“Mereka bukan setinggan tapi kamu jadikan mereka setinggan dan kamu mengutamakan pemaju,” katanya.
Mereka yang terjejas itu merupakan antara kumpulan penduduk yang masih tinggal di kampung tersebut walaupun sebahagian besar telah menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menghendaki mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.
Media melaporkan, isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.
BACA JUGA Selepas KPKM umum berita baik untuk pesawah, KADA pula keluar kenyataan
Â