Selepas KPKM umum berita baik untuk pesawah, KADA pula keluar kenyataan
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) susulan berita baik yang diumumkan kementerian itu semalam.
KPKM dalam kenyataan memaklumkan, hampir 130,000 pesawah di Semenanjung Malaysia akan menerima bantuan tunai berjumlah RM210 per hektar per musim menerusi kenaikan kadar insentif pembajakan serta pengenalan insentif penuaian.
KPKM berkata, pihaknya telah mengambil langkah menambah baik kadar sedia ada bagi insentif pembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim.
Selain itu, kementerian yang diterajui Datuk Seri Mohamad Sabu itu turut memperkenalkan insentif baharu iaitu insentif penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim.
Sehubungan pengumuman berkenaan, Pengerusi KADA, Muhammad Husain menyifatkan ianya sebagai tanda prihatin pihak kerajaan untuk membantu golongan pesawah di seluruh negara.
Katanya, menerusi dua insentif itu, seramai 7,439 pesawah dalam jajahan KADA bakal menerima bantuan tunai berjumlah RM210 per hektar per musim.
”Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada KPKM atas berita baik ini. Saya mendukung usaha ke arah membantu petani dan meringankan beban mereka untuk menghasilkan padi demi keterjaminan makanan negara.
”Semoga pengumuman tersebut sedikit sebanyak menjadi penawar dan pengubat duka kepada pesawah di Kelantan akibat kesan kemarau yang ditanggung mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan turut mendoakan agar Allah terus merahmati dan memberkati segala usaha yang dilakukan oleh golongan pesawah.
BACA JUGA Kes Zayn Rayyan: Media terus menanti, Mahkamah PJ dikawal ketat