Israel terkejut ‘diburu’ api, lebih 90 roket dari Lubnan mengejar
Lebih 90 roket dilepaskan dari Lubnan ke utara Israel hari ini, dakwa tentera Israel.
Lapor AFP, serangan itu berlaku selepas rejim Zionis membunuh seorang komander kanan Hizbullah di selatan Lubnan dalam serangan pada hari sebelumnya.
Menurut satu kenyataan, tentera Israel juga memberitahu bahawa beberapa daripada serangan itu berjaya dipintas.
Namun, jelasnya, yang lain terkena di Israel utara yang mencetuskan kebakaran di beberapa kawasan.
Hampir setiap hari kumpulan pejuang Lubnan Hizbullah menyerang merentasi sempadan Israel sejak sekutu Palestinnya, Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober tahun lalu.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, kedua-dua sempadan terbakar akibat peningkatan serangan.
Serangan terbaru dari Lubnan berlaku selepas serangan Israel membunuh seorang komander kanan Hizbullah pada Selasa.
Hizbullah mengenal pasti komander kanannya yang syahid itu sebagai Taleb Sami Abdallah, juga dikenali sebagai Abu Taleb dan dilahirkan pada 1969.
Sumber tentera Lubnan berkata, komander itu adalah ‘yang paling penting dalam Hizbullah untuk dibunuh sejak permulaan perang’.
Sumber itu juga berkata, serangan Israel melanda bandar Jouaiyya, kira-kira 15 kilometer dari sempadan dan turut membunuh tiga orang.
Lebih 37,000 rakyat Palestin terkorban dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala ramai orang awam cedera sejak perang tercetus Oktober lalu.
Sebahagian besar Semenanjung Gaza juga musnah teruk dibedil tentera pengganas Israel selain mengenakan sekatan terhadap wilayah itu.
Akibatnya, lebih 2,000 trak setakat laporan semalam, yang membawa bantuan kemanusiaan dan barang komersial terkandas di sempadan Rafah di Mesir.
Israel sudah pun dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Susulan itu, Tel Aviv diperintah supaya menghentikan segera operasinya di Rafah.
ICJ juga meminta Israel mengekalkan pembukaan lintasan Rafah bagi menyalurkan perkhidmatan asas yang sangat diperlukan dan bantuan kemanusiaan.
BACA JUGA Uniknya nama model kereta elektrik pertama Proton
Â